AMPANG JAYA - Kertas siasatan insiden kemalangan maut lawan arus di Kilometer 22.2 Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) susur Hulu Klang di sini Rabu lalu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh terdekat.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, suspek yang merupakan penunggang motosikal jenis Yamaha dipercayai mengakibatkan kemalangan tersebut telah dirakam percakapan.
"Suspek kini masih lagi cedera namun berada dalam keadaan stabil," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, motosikal milik suspek dan mangsa telah dihantar untuk pemeriksaan Puspakom dan Jabatan Kimia.
Pada Rabu, seorang lelaki maut selepas tercampak dari motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya sebelum jatuh dari jambatan di Kilometer 22.2 Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) susur Hulu Klang di sini.
Mangsa, Ahmad Fadzil Omar Azaddin, 64, menunggang motosikal jenis Ducati Panigale melalui jalan berselekoh dipercayai cuba mengelak sebuah motosikal lain yang melawan arus.
Mangsa kemudian melanggar penghadang sebelah kiri jalan sebelum tercampak dan terjatuh ke bawah jambatan pada ketinggian kira-kira 30 meter.
ARTIKEL BERKAITAN:Penunggang Ducati maut jatuh 'flyover' elak motosikal lawan arus
Penunggang Ducati maut: Suspek lawan arus dakwa tersesat jalan
Kemalangan Ducati: Rakaman CCTV dihantar ke makmal forensik PDRM