SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyemarakkan aktiviti seni budaya dengan menganjurkan Mini Showcase & Lepak Seni di i-CITY Mall, Sabtu lalu.
MBSA menerusi satu kenyataan memaklumkan, program berkenaan memberi ruang dan peluang kepada golongan kreatif untuk berkarya.
"Ia sekali gus dapat merealisasikan matlamat menjadikan Shah Alam sebagai sebagai Kota Seni di Selangor.
"Penganjurannya juga dapat menarik masyarakat untuk berkunjung ke Shah Alam," menurut kenyataan itu pada Selasa.
Katanya, pelbagai aktiviti menarik telah diadakan antaranya Persembahan Muzik Tradisional India dan Cina, pertunjukan silap mata, kraftangan, cosplay selain dihiburkan dengan penampilan istimewa oleh Datuk Nash dan Kombo MBSA.
Selain itu, MBSA turut membuka kaunter pengoperasian Shah Alam On Wheels (SAOW) dengan menawarkan pengurangan 30 peratus Kompaun Perintah Pengangkutan Jalan (PTLK) MBSA 2007.
Turut hadir pada program itu ialah Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Ir Cheremi Tarman dan Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti, Shahrin Ahmad.