Pengawal keselamatan didenda RM3,000 pindah wang individu lain

Iklan
Mohd Adnan (kiri) dikawal polis keluar dari Mahkamah Majistret selepas didenda.

Didenda RM3,000 selepas mengaku salah di hadapan majistret

KOTA BHARU - Seorang pengawal keselamatan didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret pada Selasa kerana kesalahan memindahkan sejumlah wang RM14,000 milik individu lain melalui akaun sebuah bank pada 2 Mac lalu.

Majistret Muhammad Fitri Mokhtar mengenakan denda itu selepas tertuduh, Mohd Adnan Md Johari, 50, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikemukakan.

Iklan
Iklan

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa memindahkan wang milik Mohd Zawawi Mamat, 56, melalui akaun sebuah bank antara jam 12.38 hingga 1.12 tengah hari di Jalan Pengkalan Demit di sini.

Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Iklan

Mengikut fakta kes, tertuduh mengetahui perbuatannya itu satu kesalahan dan memiliki kad transaksi automatik bank yang berkaitan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Siti Aisyah Abdul Manah sementara tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Guaman Kebangsaan Kelantan.

Iklan

Sebelum itu, tertuduh melalui peguamnya merayu hukuman diringankan dengan alasan hanya berpendidikan setakat Tingkatan Dua yang menjadi antara faktor terlibat dengan kesalahan itu.

Siti Aisyah bagaimanapun memohon hukuman setimpal kerana kesalahan jenayah komersial adalah perkara serius.

Tertuduh kemudian dikenakan denda itu atau enam bulan penjara jika gagal menjelaskannya, namun dia membayar denda tersebut.