SEGAMAT -"Saya berlari ke rumah jiran selepas dengar dia menjerit namun dapati mangsa telah dihempap bumbung sekolah."
Demikian luah Arif Budiman, 37, jiran kepada V Mahadevi, 55 yang maut selepas dihempap bumbung sekolah di belakang rumah mereka yang diterbangkan angin kuat di Kampung Tahang Rimau di sini pada malam Isnin.
Jelas buruh binaan itu, sebelum kejadian pada kira-kira jam 7 petang, keadaan hujan lebat disertai petir.
Katanya, sebaik mendengar jeritan jirannya meminta pertolongan, dia bergegas berlari dan mendapati bahagian dapur rumah jirannya dihempap bumbung sekolah.
"Saya terus bantu tarik mangsa selepas rumah mereka dihempap bumbung sekolah. Ketika itu, mangsa dalam keadaan tertiarap dan tersepit di bahagian pinggang.
"Hujan lebat dan keadaan sangat mencabar. Jiran-jiran datang membantu. Akhirnya kami berjaya menarik mangsa keluar dari runtuhan bumbung sekolah," katanya.
Sementara itu adik mangsa, V Bala, 51, berkata, Mahadevi tinggal di rumah bersama suami P Saravanan, 57, ketika kejadian berlaku.
"Kami sekeluarga masih lagi terkejut dengan kejadian yang menimpa kakak. Abang ipar juga masih trauma dan buat masa sekarang tinggal di rumah saudara di sini," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah mengesahkan kejadian.
"Bumbung bangunan Sekolah Menengah Seg Hwa diterbangkan angin dan jatuh menghempap bahagian dapur rumah mangsa yang berada di tepi sekolah tersebut dalam kejadian jam 7.15 malam Isnin.
"Mangsa yang ketika itu berada di ruangan dapur rumahnya tidak dapat menyelamatkan diri dan terperangkap di bawah runtuhan bumbung tersebut.
"Mangsa berjaya dikeluarkan daripada runtuhan bumbung oleh suami dan jiran sejurus selepas kejadian. Terdapat kesan luka pada bahagian kepala mangsa akibat daripada insiden ini," jelasnya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut Ahmad Zamry, siasatan lanjut juga mendapati tiada sebarang unsur jenayah ditemui dalam insiden tersebut.