ALOR SETAR - UMNO Kedah menyifatkan dakwaan 10 'warlord' atau 'panglima perang' UMNO akan menyertai Perikatan Nasional (PN) sebelum pilihan raya negeri (PRN) sebagai satu propaganda pembangkang.
Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, persepsi yang dicetuskan tersebut bertujuan untuk meraih sokongan rakyat terutamanya pengundi muda menjelang PRN yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Menurutnya, tidak ada kelibat 'warlord' parti tersebut di Kedah yang menyertai PN setakat ini.
"Setakat ini tidak nampak, tidak ada di Kedah. Saya fikir mana-mana organisasi parti politik akan ada musim di mana ada yang keluar dari parti atau dikenakan tindakan dan mereka bawa diri. Bukan sahaja UMNO pergi ke parti lain, tapi dari parti lain ke UMNO pun ada terjadi.
"Contohnya, bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menyertai Majlis Ulama UMNO.
"Jadi, tidak perlu guna persepsi untuk pilihan raya kerana pada akhirnya rakyat akan pilih sama ada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) atau PN," katanya pada sidang akhbar dekat sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan PN akan mengumumkan senarai nama 10 'panglima perang' atau 'warlord' UMNO yang disisihkan untuk menyertai parti dalam gabungan itu dalam masa terdekat.
Sementara itu, mengulas persiapan BN dan PH negeri Kedah menghadapi PRN di negeri ini pula, Mahdzir menjelaskan, perbincangan mengenai aktiviti-aktiviti yang bakal dilaksanakan telah pun diadakan pihaknya.
Menurutnya, BN dan PH kedah akan memfokuskan kepada program bersasar dan bersesuaian agar dapat dijalankan kepada semua kumpulan sasaran.
"Kita kena ambil kira semua kumpulan, apa yang sesuai untuk anak muda, pesawah, nelayan, penoreh getah dan lain-lain... kita tengok apa program bersesuaian di tempat masing-masing sebab kawasan juga ada 'multiracial' ada Melayu, Cina, India dan Siam, jadi kena ambil kira semua itu," ujar beliau.
Tambahnya, bagi nama-nama calon parti yang akan bertanding pada PRN, perkara tersebut sedang disusun dan akan diserahkan kepada presiden parti untuk dimuktamadkan.