SHAH ALAM - Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) menegaskan kerajaan yang ada pada ketika ini perlu dikekalkan sekurang-kurangnya satu penggal bagi menjamin kepentingan dan masa hadapan anak muda.
Exco Pemuda Amanah, Fadhli Umar Aminolhuda berkata, ribuan anak muda menghadiri sesi temuduga di syarikat gergasi dan automatif dunia, Tesla yang bakal beroperasi di Malaysia.
"Syarikat gergasi dunia seperti Tesla hanya akan melabur dalam negara sekiranya terdapat sebuah kerajaan yang stabil dan boleh bertahan lama.
"Selain Tesla, syarikat Amazon Web Services mengumumkan pelaburan melebihi RM25 bilion ke dalam negara,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial Facebook, pada Selasa.
Pada 17 Jun, Sinar Harian melaporkan, sesi temuduga 'walk-in' Tesla Malaysia yang terletak di Persiaran Apec, Cyberjaya telah diserbu ribuan orang ramai.
Pada masa sama, Fadhli Umar menegaskan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) perlu bertindak dengan lebih agresif untuk menarik pelaburan dari syarikat gergasi dunia supaya membuat pelaburan dalam negara.
Kata beliau, pelbagai agensi di bawah MITI seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) juga perlu memainkan peranan supaya banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan untuk anak muda.
"Golongan itu (anak muda) bukanlah tidak mahu atau malas untuk mencari pekerjaan tetapi mereka dahagakan peluang kerja berkemahiran tinggi yang setimpal dengan bidang pengajian dipelajari.
"Kementerian Sumber Manusia juga melalui Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) perlu bertindak dengan lebih efektif dalam memperbanyakkan program ‘job-matching’ supaya lebih ramai anak muda peroleh pekerjaan berkualiti, berkemahiran tinggi,” ujarnya.