KUALA LUMPUR - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah mempersembahkan nama calon Ketua Polis Negara (KPN)dan Timbalan Ketua Polis Negara kepada Yang di-Pertuan Agong, Al- Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada Selasa.
Sesi menghadap itu berlangsung pada jam 2.40 petang di Istana Negara.
Difahamkan nama calon Ketua Polis Negara yang dicadangkan ialah Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Difahamkan juga terdapat empat nama calon yang dipersembahkan untuk jawatan Timbalan Ketua Polis Negara.
Mereka ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Ayob Khan; Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Hazani Ghazali dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Seri Mohd Kamaruddin Md Din.
Satu lagi nama bagaimanapun tidak dapat dipastikan.
Sementara itu Timbalan Ketua Polis Negara, Razarudin, ketika dihubungi memaklumkan bahawa dia tidak mempunyai sebarang maklumat tentang perkara itu.
Nama semua calon berkenaan dicadangkan untuk pertimbangan Yang di-Pertuan Agong, bagi mengisi kekosongan jawatan Ketua Polis Negara yang pada masa ini dijawat oleh Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
Pada Isnin, media melaporkan Acryl Sani mengesahkan bakal mengakhiri jawatannya pada minggu pertama Julai ini.
Acryl Sani sepatutnya mengakhiri tugasnya secara kontrak sebagai Ketua Polis Negara, pada Oktober depan namun memutuskan untuk bersara lebih awal.
Langkahnya itu adalah bagi mengisi kekosongan jawatan sebuah syarikat perbankan milik kerajaan yang memerlukannya bertugas dalam masa terdekat.