Lebih 20 ditahan libat kes pembunuhan beramai-ramai di Uganda

Iklan
Pegawai keselamatan berdiri berhampiran sebuah sekolah pada Ahad selepas serangan pemberontak, di Mpondwe, daerah Kasese, Uganda pada Sabtu. - Foto Xinhua

KAMPALA - Polis Uganda pada Selasa menahan 20 orang, termasuk guru besar sekolah berhubung insiden pembunuhan beramai-ramai yang meragut 42 nyawa kebanyakannya kanak-kanak, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Supsek yang ditahan disyaki bekerjasama dengan pelampau, kata polis.

Iklan
Iklan

Polis Uganda menyalahkan pemberontak militia Congo Allied Democratic Forces (ADF), yang dikatakan mempunyai kaitan dengan cawangan militia pengganas Daesh, atas pertumpahan darah itu.

Pada Jumaat, kumpulan pelampau itu disyaki menyerang dan membakar sebuah sekolah dan bangunan asrama di bandar Mpdonwe berhampiran sempadan Republik Demokratik Congo (DRC).

Iklan

Hampir kesemua yang maut membabitkan kanak-kanak dan beberapa daripada mangsa dibunuh dengan parang.

Lapan murid lain melecur serius dan luka terkena tembakan.

Iklan

Selain itu, penyerang menculik 15 kanak-kanak perempuan dan lelaki. Nasib mereka masih belum diketahui.

Penyerang dikatakan telah melarikan diri ke Taman Negara Virunga, taman negara tertua di Afrika, lokasi beberapa kumpulan pemberontak beroperasi selama bertahun-tahun.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Antonio Guterres mengecam serangan itu dan menuntut pembebasan segera kanak-kanak yang diculik.

Mereka yang bertanggungjawab atas perbuatan kejam itu mesti dibawa ke muka pengadilan, katanya. - Bernama/dpa