Hangzhou 2022 medan atlet berkualiti

Iklan
Mohamad Norza - Foto Bernama

SUKAN Asia 2022 di Hangzhou, China, September ini tidak boleh dijadikan platform untuk memberikan pendedahan kepada atlet, sebaliknya hanya atlet berpotensi menyumbang pingat kepada kontinjen negara akan dihantar ke temasya tersebut.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, ini kerana nisbah pungutan pingat emas bagi setiap atlet berbanding bilangan atlet dihantar dilihat tidak selari dan semakin merosot sejak Sukan Asia 2006 di Doha, Qatar.

Iklan
Iklan

"Dari segi statistik, jika kita lihat pingat emas bagi setiap atlet, kita nampak penurunan dari edisi 2006, kita hantar 244 atlet dapat lapan emas iaitu sekitar 30.5 atlet bagi setiap emas.

"Edisi 2010 (Guangzhou, China) pula 333 atlet, sembilan emas, sekitar 37 atlet bagi setiap emas. Edisi 2014 (Incheon, Korea Selatan) 277 atlet, lima emas bersamaan 55.4 atlet setiap emas dan edisi 2018 (Jakarta-Palembang, Indonesia) pula 417 atlet, tujuh emas bersamaan 59.7 atlet bagi setiap emas,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat jawatankuasa pemilihan atlet dan pegawai ke Sukan Asia 2022 di Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Kuala Lumpur pada Selasa.

Iklan

Justeru, Mohamad Norza berkata, jawatankuasa berkenaan menetapkan kriteria ketat bagi memastikan atlet yang benar-benar berkualiti dapat membawa cabaran negara di China.

Jelas beliau, atlet atau pasukan yang mendapat senarai kedudukan empat teratas di peringkat Asia sejak 2018 tersenarai dalam Kategori A (kos ditanggung sepenuhnya), manakala meraih kedudukan enam teratas berbanding lapan sebelum ini dibenarkan bertanding di bawah Kategori B (kos ditanggung persatuan dan dipulangkan jika menang pingat).

Iklan

Berdasarkan mesyuarat pertama jawatankuasa itu, Mohamad Norza berkata, setakat ini seramai 115 atlet disenaraikan dalam kategori A, manakala 98 lagi diletakkan di bawah Kategori B.

"Jadi, kesemuanya ada 213 atlet setakat ini dan sekiranya kita sasar tujuh pingat emas (Sukan Asia 2022), kami mengambil perhatian kira-kira 30 atlet untuk setiap emas dan ia adalah sama dengan kadar nisbah edisi 2006,” katanya sambil menambah, tarikh tutup penyerahan nama atlet ke Sukan Asia 2022 pada 15 Julai ini.

Walaupun menghantar kontinjen agak kecil, Mohamad Norza berkata, Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, England menjadi contoh terbaik nisbah emas dimenangi seimbang dengan jumlah penyertaan atlet yang menyaksikan Malaysia meraih satu emas bagi setiap 14 atlet menerusi 104 atlet dan tujuh pingat emas dimenangi secara keseluruhan.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, menyokong penuh pendirian jawatankuasa pemilihan atlet dalam menetapkan syarat ketat ke Sukan Asia kali ini.

Malah, Ahmad Shapawi mengingatkan mereka yang bakal beraksi di temasya empat tahun sekali itu terutama bagi Kategori A agar tidak mengambil mudah peluang sedemikian kerana perlu membuktikan bahawa segala bentuk kemudahan dinikmati sememangnya layak diterima.

"Yang penting Sukan Asia bukan medan pendedahan tetapi medan pertempuran,” katanya. - Bernama