KLANG - Polis menggempur lokasi panas yang menjadi tempat melepas gian menghisap dadah di sekitar Selangor menerusi Ops Sarang, semalam.
Daerah yang terlibat dalam serbuan ini adalah Klang Utara, Kajang, Sabak bernam, Gombak,Petaling Jaya,Kuala Selangor, Klang Selatan, Sepang, Sungai Buloh, Serdang, Kuala Langat dan Ampang Jaya.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Superintendan R Sundralingam berkata, operasi bermula jam 6 pagi dijalankan hasil maklumat dan risikan sepasukan pegawai serta anggotanya.
Menurutnya, seramai 110 individu berusia lingkungan 17 hingga 45 tahun termasuk empat wanita dicekup.
"Pemeriksaan lanjut merampas pelbagai jenis dadah seberat 90.55 gram serta 6.2 liter air ketum yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM30,000.
"Antara jenis dadah yang dirampas adalah syabu, heroin, ganja serta pil eramin 5," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya percaya terdapat antara suspek yang ditahan ini terlibat sebagai pengedar jalanan.
Katanya, aktiviti penyalahgunaan dadah ini menjadikan kawasan paya bakau, rumah kediaman serta kebun kelapa sawit kononnya bagi menyukarkan kegiatan terbabit dikesan pihak berkuasa.
"Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Tegasnya, polis akan terus bertindak dalam usaha membanteras serta memerangi habis-habisan kegiatan penyalahgunaan dadah dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan ini.