Manjung rekod RM2.1 juta kerugian akibat phone scam

Iklan
Sebanyak RM2.1 juta kerugian direkodkan di daerah Manjung melibatkan kes penipuan dalam talian hanya dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini. - Gambar hiasan

MANJUNG - Sebanyak RM2.1 juta kerugian direkodkan di daerah Manjung melibatkan kes penipuan dalam talian hanya dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, kerugian itu direkodkan hasil 52 kes yang dilaporkan sejak Januari lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kebanyakan kes, suspek menggunakan modus operandi sama iaitu menghubungi mangsa dengan menyamar sebagai penguat kuasa, polis, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mahkamah atau syarikat perkhidmatan penghantaran barang.

"Dalam kejadian terbaru semalam (Isnin), seorang warga emas mengalami kerugian RM202,787 selepas terpedaya dengan individu menyamar sebagai pegawai polis.

Iklan

"Wanita berusia 65 tahun dan merupakan bekas pekerja kilang elektronik itu menerima panggilan kononnya terlibat dengan kes jenayah yang memerlukan siasatan berkaitan akaun mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, sebagai langkah pencegahan, orang ramai dinasihatkan tidak melayan panggilan telefon yang tidak dikenali selain menyemak dengan balai polis, bank atau agensi berkaitan untuk pengesahan.

Iklan

Katanya, paling penting tidak mendedahkan maklumat perbankan kepada mana-mana pihak.

"Diingatkan semua urusan dengan agensi kerajaan hanya dilakukan di pejabat dan tidak melalui telefon. Panggilan telefon diterima hanya untuk tujuan janji temu," katanya.