SHAH ALAM - Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Haziq Azfar Ishak akui risau dengan trend sentimen berbaur keagamaan dan perkauman yang dilihat semakin banyak dimainkan oleh parti lawan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ujar beliau, kerajaan perlu mengambil tindakan lebih drastik dalam menangani permasalahan tersebut.
"Tatkala pembentukan Kerajaan Perpaduan itu, kalau tengok di TikTok, itu adalah puncak tertinggi di mana isu-isu perkauman, nak sembelih orang-orang lain dan sebagainya.
"Ini cukup menyedihkan yang berlaku di negara kita. Alhamdulillah bila Kerajaan Perpaduan ini dibentuk, ia (sentimen itu) reda sedikit tetapi sekarang ini kita tengok trend cuba nak meningkat balik.
"Kita cukup risau dan saya rasa kerajaan perlu mengambil tindakan lebih drastik daripada sekarang untuk mengekang perkara ini.
Beliau berkata demikian ketika dalam program Wacana Sinar Siri ke 402 yang bertajuk PRN: Debar Menunggu Bubar yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Selasa.
Program yang dihoskan Ismail Adnan itu turut menampilkan Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Rosni Zahari dan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Haziq Azfar Ishak sebagai panelis.
Dalam pada itu, menurut Haziq Azfar, sentimen seperti itu dibimbangkan akan memberi kesan kepada anak muda yang akan membentuk prasangka buruk kepada bangsa-bangsa lain.
"Yang saya paling terkejut, isu perkauman yang dibangkitkan baru-baru ini adalah isu-isu yang Barisan Nasional (BN) sendiri pun tak berani nak bangkitkan sebelum ini.
"Kalau nak tengok kepada kepentingan parti sahaja, tidak apalah kalau rasa nak menang, mereka nak guna cara yang bahayakan fabrik sosial negara.
"Tetapi kesannya itu kepada anak-anak muda kita sekarang ini yang tidak ada rasa kasih sayang, berprasangka buruk kepada anak-anak bangsa yang lain tanpa sebarang asas. Jadi itu sebenarnya cukup membimbangkan,” ujarnya.