SKUAD hoki lelaki negara memperoleh suntikan semangat tambahan apabila disenaraikan ke dalam program Road To Gold (RTG) bagi misi memburu slot ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Pengurus pasukan, Datuk Mirnawan Nawawi berkata, berita gembira itu mengujakan para pemain yang ketika ini berada di Korea Selatan sebagai persediaan untuk menghadapi Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia 2023 di Chennai, India Ogos depan.
"Terima Kasih kepada YB (Yang Berhormat) Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Jawatankuasa RTG bersetuju untuk pasukan hoki lelaki negara dimasukkan ke dalam program RTG.
"Berita gembira ini pastikan akan menyemarakkan lagi semangat pasukan dalam memburu slot untuk layak ke Sukan Olimpik 2024 selepas kali terakhir layak pada tahun 2000 di Sydney.
"Pemain-pemain memang teruja kerana ia berita penyuntik semangat dan sebagai tonik tambahan untuk misi pada Sukan Asia dan seterusnya intai tiket ke Olimpik,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.
Hannah pada Isnin mengumumkan berita gembira buat skuad hoki negara apabila disenaraikan dalam program RTG.
Justeru, Mirnawan mengingatkan para pemain skuad Malaysian Tigers untuk memberikan yang terbaik buat negara bagi memastikan tiket buat Malaysia di Paris tahun depan.
"Peluang pertama untuk layak adalah memenangi pingat emas pada Sukan Asia Hangzhou September depan.
"Menerusi sokongan dan bantuan daripada program RTG mendorong pasukan untuk merancang dan melakukan persiapan yang lebih rapi. Ini pasti membantu dalam memburu tiket ke Olimpik,” katanya.