BINTANG Argentina, Lionel Messi bersedia bermain perlawanan pertamanya untuk Inter Miami pada 21 Julai apabila kelab Liga Bolasepak Utama (MLS) Amerika Syarikat (AS) itu menerima kunjungan pasukan dari Mexico, Cruz Azul, kata pengurusan pasukan Jorge Mas.
Messi dan Miami sebelum ini bersetuju dengan syarat perjanjian serta sedang memuktamadkan kertas kerja termasuk visa selepas pengumuman kapten Argentina itu bulan ini mengenai hasratnya untuk menyertai kelab berprestij Amerika Syarikat tersebut.
Pemain berusia 35 tahun itu akan menandatangani perjanjian dua setengah tahun bernilai AS$50 juta hingga AS$60 juta setahun dengan pilihan untuk melanjutkan sehingga 2026, menurut media Miami.
"Sama sekali tidak ada perubahan dalam peraturan jadual. Tiada kategori atau apa-apa yang diubah untuk memasukkan Messi ke dalam senarai Inter Miami," kata Mas.
Status Messi sebagai pemenang Ballon d'Or tujuh kali menjanjikan impak besar untuk bola sepak di Amerika Syarikat, di mana popularitinya menjejaki empat lagi liga profesional utama Amerika Utara.
Dalam pada itu Mas mentakrifkan kedatangan Messi sebagai detik penting dalam sejarah perkembangan bola sepak Amerika Syarikat sejajar hasrat MLS untuk menjadi salah satu liga terbaik dunia.
"Saya juga mempunyai kepercayaan yang sangat kuat bahawa kita boleh mencipta impak di Amerika Utara dan Amerika Syarikat jika bukan liga terhebat, tetapi antara satu daripada dua liga terbaik di dunia.
"Messi akan datang ke negara ini untuk memenangi piala dan membuat perubahan secara menyeluruh terhadap landskap bola sepak Amerika Syarikat. Saya fikir ia menjadi tanggungjawab saya dan rakan kongsi dalam liga, pemilik lain, untuk merebut masa dan peluang itu," kata Mas.
Berita mengenai Messi menyertai Miami memberi kesan pertama dalam beberapa jam, menyebabkan harga tiket melonjak 1,034 peratus dan meningkatkan jumlah pengikut di akaun Instagram kelab daripada satu kepada lapan juta.