KUALA LUMPUR - Pemergian penyanyi terkenal, Rohana Jalil ke rahmahtullah sekitar pukul 11.33 malam tadi tidak hanya mengundang duka dan sedih dalam kalangan ahli keluarga Allahyarham.
Sebaliknya, rakan-rakan artis termasuk mereka yang pernah bersama-sama menempa kemayhuran sekitar tahun 1980-an tidak terkecuali daripada merasa hiba.
Rohana yang dijemput oleh ALLAH pada usia 68 tahun disifatkan mereka sebagai seorang sahabat yang berperibadi mulia.
Allahyarham Rohana merupakan seorang sahabat yang sentiasa berada semasa saat senang dan susah rakan-rakannya termasuk sentiasa murah hati menghulur bantuan ketika ada dalam kalangan mereka yang ditimpa kesusahan.
Mengimbas kenangan bersahabat dengan Rohana, penyanyi Datuk Azizul Khamis berkata, sifat Allahyarham yang sangat pemurah diketahui rakan-rakan terdekat.
Mula mengenali Allahyarham sejak 1980 lagi, Azizul berkata, Rohana tidak pernah berkira, dan sifat murninya itu terbukti apabila tidak keberatan menghulurkan wang ketika dia memerlukan bantuan, suatu ketika dahulu.
"Orang mungkin tidak tahu, arwah sebenarnya baik hati. Kalau perlukan duit, arwah beri pinjam dan beliau banyak menderma,” kata Azizul seperti dilaporkan portal BH Online.
Rohana atau nama sebenarnya Dara Abdul Jalil dilahirkan di Kota Tinggi, Johor pada 18 Februari 1955 meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sekitar pukul 11.33 malam tadi.
Allahyarham sebelum itu dirawat di hospital berkenaan selama dua bulan akibat kebocoran usus.
Pemergian Rohana turut dikongsi seniwati ternama, Fauziah Ahmad Daud yang mendoakan Allahyarham ditempatkan di sisi orang-orang yang beriman.
Kata Fauziah atau lebih mesra disapa Ogy, segala penderitaan rakannya itu kini berakhir sudah.
"Semoga Almarhumah Hajah Dara Jalil a.k.a Rohana Jalil ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Aamiin Allahumma Aamin.
"Kami di sini akan merinduimu Ana...” tulis Ogy dalam hantaran di akaun media sosialnya.
Tidak ketinggalan berkongsi nota takziah di akaun Instagram ialah penyanyi terkenal Ramlah Ram yang turut berdoa semoga roh arwah Rohana dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan insan-insan yang dikasihi ALLAH.
Turut mendoakan roh Allahyarham Rohana dicucuri rahmat ALLAH SWT ialah pelakon dan usahawan Neelofa.
Dalam hantaran di Twitter peribadinya, Neelofa turut memanjangkan ucapan takziah kepada anak Allahyarham Rohana iaitu pelakon Kila Fairy di atas pemergian ibu tercinta.
"Semoga rohnya sentiasa dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman dan soleh. Al-Fatihah,” tulis Neelofa. - Awani
'Selamat berehat Kak Ana, moga bertemu di syurga'- Haiza
Sementara itu memetik laporan portal Gempak, penyanyi dan penyampai radio Haiza Hanafi menitipkan kata-kata akhir buat sahabat karibnya, Allahyarham Rohana.
Kongsi Haiza di Instagram, Allahyarham 'pergi' selepas selesai majlis bacaan Yasin yang diadakan pada malam sama.
"Selamat berehat Kak Ana. ALLAH lebih sayang Kak Ana. ALLAH permudah segala urusan.
"Usai bacaan Yasin malam tadi untuk Kak Ana kami dikejutkan dengan pemergian akak.
"Bila akak bertarung dengan sakit yang akak lalui sebenarnya ALLAH nak angkat darjat akak. Moga bertemu di syurga kak. Alfatihah Dara Jalil. Haiza sayang Kak Ana," tulisnya.
Haiza turut menitipkan ucapan takziah buat keluarga Allahyarham menerusi hantaran sama.
Dilahirkan pada 18 Februari 1955, Allahyarham memulakan kerjaya seni selepas menjuarai pertandingan Bintang RTM 1980.
Antara lagu popularnya ialah Rayuanku, Resahku dan Naluri Cinta iaitu merupakan lagu duet bersama To'ki.
Allahyarham berkahwin dengan Jahangir Khan pada 1984 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata termasuk pelakon, Kilafairy. - Gempak