Pasaran buruh bagi belia kembali bersinar

Iklan

Tekad kerajaan merintis pelbagai usaha demi kepentingan golongan muda membuahkan hasil apabila aktiviti pekerjaan belia yang memperlihatkan pola penurunan dalam tempoh lebih sedekad lalu kini mula mendatar.

Iklan
Iklan

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar, berkata perkembangan yang ternyata memberi sinar baharu kepada ‘tunas muda’ negara dilakar rentetan pelaksanaan siri rangsangan pasaran buruh, termasuk pengambilan pekerja melalui imbuhan penggajian dan mengekalkan pekerjaan menerusi program subsidi upah.

Katanya, usaha diterajui kementerian menerusi agensinya, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dilaksanakan selepas semakan terhadap petunjuk utama ekonomi negara mendedahkan realiti pahit yang dialami golongan belia di Malaysia.

Iklan

"Hal ini kerana golongan disifatkan sebagai generasi pelapis negara, berusia antara 15 hingga 24 tahun berdepan kesukaran untuk mendapat ‘lamaran’ pekerjaan setimpal perit jerih mereka dalam menimba ilmu hingga ke menara gading.

"Menyedari polemik sedemikian yang bakal menjejaskan perkembangan laluan kerjaya orang muda, langkah intervensi direncanakan termasuk program Jamin Kerja-Insentif Penggajian (JKIP) kendalian Perkeso seperti diperuntukkan dalam Belanjawan 2022 untuk menawarkan insentif kewangan kepada majikan.

Iklan

"Imbuhan kewangan ini disalurkan untuk majikan mengambil pekerja merangkumi pelbagai kumpulan sasaran termasuk belia, sekali gus menyaksikan seramai 55,837 orang mencari pekerjaan baharu berjaya dibantu setakat 9 September 2022.

"Jumlah itu turut meliputi 10,034 graduan muda yang mendapat tempat perantisan peringkat eksekutif dan ramai lagi yang diambil mengikut kategori 'Pencari Kerja Am’,” katanya.

Bantu bukan pencarum

Sivakumar berkata, momentum rangsangan pasaran kerja, khususnya bagi belia akan terus diperkasakan kerana statistik menunjukkan kesan pandemik Covid-19 masih merencatkan peluang kepada orang muda untuk mendapat pekerjaan.

SIVAKUMAR

Beliau berkata, wabak yang mencetuskan tempias teruk terhadap ekonomi serata dunia itu didapati memberi kesan mendalam dan belia adalah golongan paling terjejas selepas ramai hilang mata pencarian, berbanding pekerja berusia 55 hingga 64 tahun.

"Selari usaha pemulihan negara pasca pandemik kesihatan, Perkeso memperkenalkan program Sistem Insurans Pekerjaan Elaun Mencari Pekerjaan (SIPEMP+) bagi membantu individu yang bukan pencarum badan berkenaan mengekalkan taraf hidup, sementara mencari peluang pekerjaan baharu seperti graduan dan lepasan sekolah.

"Bantuan ini termasuk insentif Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) yang diterima individu layak apabila menghadiri temu duga pekerjaan, serta Elaun Persediaan Pekerjaan (EPB) bagi mereka melakukan persediaan memulakan kerja.

"Rentetan penularan Covid-19 yang mengundang perubahan terhadap persekitaran pasaran buruh, semakin ramai belia dilihat lebih cenderung kepada beberapa sub-sektor tertentu antaranya penghantaran barang dan perkhidmatan sokongan, masing-masing mewakili 23.5 peratus serta 10.4 peratus daripada jumlah bekerja sendiri,” katanya.

Sivakumar berkata, kecenderungan golongan muda bekerja dalam sub-sektor berkenaan adalah disebabkan ia mudah diceburi dan dilihat sebagai alternatif kepada pekerjaan formal.

Bagaimanapun, katanya, kecenderungan golongan belia untuk berkecimpung dalam pekerjaan sendiri bermakna peluang untuk mencari kerjaya lebih baik mungkin akan dilepaskan.

"Menyedari pasaran kerja adalah sangat mencabar untuk golongan muda terutama dengan pematangan ekonomi gig, Dasar Pasaran Buruh Aktif diperkenalkan bagi memacu peluang pekerjaan untuk pencari kerja muda.

"Walaupun ia kelihatan sebagai titik permulaan mudah, kerja gig tidak mempunyai liputan keselamatan sosial yang menyeluruh, justeru Dasar Pasaran Buruh Aktif direncanakan berikutan pekerja di sektor ini lebih terdedah kepada kejutan ekonomi.

"Sehubungan itu, semua pekerja, tanpa mengira umur atau latar belakang akan disediakan akses kepada sokongan dan bantuan berkaitan, demi memastikan mereka berupaya berkembang maju dalam pasaran kerja hari ini,” katanya.