Pan Gon puji pemain Harimau Malaya

Iklan
Pan Gon bercakap semasa sidang media selepas perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1 antara Malaysia lawan Papua New Guinea di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam tadi. - Foto Bernama

JURULATIH skuad kebangsaan Kim Pan Gon memuji anak buahnya selepas Malaysia membenam Papua New Guinea 10-0 pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini, malam tadi.

Pan Gon mengakui sangat gembira dengan komitmen ditunjukkan pemain setelah skuad Harimau Malaya mempamerkan persembahan berkualiti tinggi dan menarik di hadapan hampir 10,000 penonton di stadium.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, apa yang ditunjukkan pemainnya malam tadi memerlukan usaha dan kerja keras demi memenuhi permintaan barisan kejurulatihan, selain perlu berdepan tekanan hebat untuk melaksanakan taktikal pasukan pada setiap perlawanan.

"Mereka (pemain) sentiasa mencuba meningkatkan kualiti permainan dan sangat penting untuk melihat mereka berada dalam tekanan kerana kami (barisan kejurulatihan) datang ke sini untuk mengubah bola sepak Malaysia menjadi positif, dominan dan proaktif.

Iklan

"Jadi, bagi saya, saya gembira malam ini (tadi) tetapi ini bukanlah penamat kempen, hanya satu perlawanan ... namun bola sepak seperti ini yang kami mahu bermain menentang pasukan kuat dan itulah sasaran kami,” kata Pan Gon pada sidang media selepas perlawanan di sini pada Selasa malam.

Mengulas mengenai kemajuan yang dapat dilihat sejak mengambil alih pasukan pada Januari tahun lepas, Pan Gon berkata, tahap keyakinan pemain semakin meningkat dalam setiap perlawanan walaupun adakalanya mereka bergelut, namun apa yang penting ialah mereka tidak gentar.

Iklan

Beliau berkata, ketakutan boleh menjejaskan tumpuan, sekali gus menyukarkan pasukan untuk beraksi dengan baik.

"Seperti pada separuh masa kedua (malam tadi), ia bukan sesuatu yang boleh saya ajar. Ia hadir secara semula jadi daripada pemain, ia datang dari lubuk hati mereka ... saya rasa tahap keyakinan mereka sudah bertambah baik.

"Dan juga pada satu setengah tahun yang lepas, mereka cuba untuk memahami model permainan dan pendekatan taktikal kami. Kami berikan banyak maklumat kepada pemain, saya dapat lihat mereka sangat bijak dan saya bangga dengan mereka,” kata jurulatih berusia 54 tahun itu.

Pada pertembungan malam Selasa, persembahan cemerlang pada babak kedua menyaksikan skuad bimbingan jurulatih dari Korea Selatan itu menjaringkan sembilan gol selepas mendahului pada penghujung babak pertama menerusi penalti Muhammad Safawi Rasid.

Pemain sayap muda sensasi Arif Aiman Mohd Hanapi yang masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua dan pemain naturalisasi Paulo Josue mencuri tumpuan selepas masing-masing meledak empat dan tiga gol manakala pemain gantian lain Mohamad Faisal Abdul Halim dan Daniel Ting masing-masing menjaringkan satu gol.

Kejayaan itu menyaksikan Harimau Malaya merakam kemenangan keempat berturut-turut dalam aksi persahabatan sejak Mac lepas dan mencatat kemenangan terbesar sejak menewaskan Bhutan 7-0 semasa saingan persahabatan pada April 2018.

Sementara itu, ketua jurulatih Papua New Guinea, Harrison Kamake yang terkejut dengan kekalahan besar itu berkata kegagalan pasukannya untuk mematuhi arahan menjadi punca mereka dibolosi sembilan gol pada babak kedua.

"(Perlawanan) ini sukar buat pemain saya, ternyata Malaysia pasukan yang lebih baik, kredit penuh diberikan kepada mereka,” katanya.

Kerja keras Arif Aiman rebut kesebelasan utama Harimau Malaya mula buah hasil

Dalam pada itu, pemain sayap muda sensasi Arif Aiman Mohd Hanapi mendedahkan kesukaran menembusi kesebelasan utama skuad kebangsaan, selepas meledak empat gol dalam kemenangan 10-0 Malaysia menentang Papua New Guinea di sini, Selasa malam.

Tonggak jentera serangan Johor Darul Ta’zim (JDT) berusia 21 tahun itu berkata, bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan negara kendalian Kim Pan Gon, beliau bekerja keras bersaing dengan barisan pemain yang lebih berpengalaman.

Selepas kurang menyerlah dalam beberapa perlawanan bersama skuad Harimau Malaya sebelum ini, Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2022 itu mengakui semakin memahami dan berasa selesa dengan corak permainan yang dikehendaki Pan Gon.

"Ya (makin selesa), saya sentiasa berlatih betul-betul (kerana) bukan senang nak bermain dalam kesebelasan utama skuad Harimau Malaya apabila perlu bersaing dengan pemain-pemain yang lebih berpengalaman daripada saya.

"Saya ambil kesempatan itu (jika diturunkan) bukan sebagai beban tetapi peluang yang berharga buat diri saya,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Papua New Guinea di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini, malam Selasa.

Pada pertembungan itu, persembahan cemerlang pada separuh masa kedua menyaksikan skuad Harimau Malaya menjaringkan sembilan gol selepas mendahului pada penghujung babak pertama menerusi penalti Muhammad Safawi Rasid.

Arif Aiman yang masuk sebagai pemain gantian dengan mudah menjaringkan empat gol masing-masing pada minit ke-57, minit ke-60, minit ke-87 dan minit ke-89 sekali gus mengumpul lima gol bersama pasukan negara setakat ini.

Baki lima gol Malaysia antaranya diperoleh menerusi hatrik pemain naturalisasi Paulo Josue sementara dua lagi pemain gantian Mohamad Faisal Abdul Halim dan Daniel Ting masing-masing menjaringkan satu gol.

Meskipun berbangga mencipta hatrik pertamanya di pentas senior, Arif Aiman berkata kesemua gol yang dijaringkan malam tadi tidak akan hadir tanpa bantuan rakan sepasukan.

"Bagi saya dari babak pertama semua pemain bagi yang terbaik dan (apabila) jurulatih beri saya peluang pada separuh masa kedua ia tiada beza, semua pemain (tetap) beri yang terbaik pada perlawanan ini,” katanya yang mengakui Pan Gon berjaya menaikkan semangat pasukan sewaktu rehat.

Minggu lepas, Arif Aiman yang merupakan produk Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari di Gambang, Pahang meraih jaringan sulung bersama pasukan negara ketika membantu Malaysia menewaskan Kepulauan Solomon 4-1 pada satu lagi aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata kini fokusnya adalah untuk membantu JDT layak ke final Piala FA seterusnya menjulang gelaran juara menjelang aksi separuh akhir berdepan Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor Isnin depan. - Bernama