Razarudin Ketua Polis Negara baharu

Iklan
Razarudin

PUTRAJAYA - Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain@Abd Rashid dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baharu berkuat kuasa Jumaat.

Pelantikan Razarudin itu bagi menggantikan Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani yang bersara lebih awal.

Iklan
Iklan

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis telah memperkenan pelantikan secara kontrak Razarudin sebagai Ketua Polis Negara selama dua tahun sehingga 22 Jun 2025.

Menurutnya, Razarudin, 61, dilahirkan pada 15 Mac 1963 di Dengkil, Selangor.

Iklan

"Beliau (Razarudin) yang berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Sosial Pengajian Kepolisan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia menjawat pelbagai jawatan di peringkat negeri dan kontinjen.

"Beliau memulakan tugas pada tahun 1984 di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kedah sebagai Pegawai Penyiasat dan meneruskan khidmat di jabatan tersebut sehingga tahun 1996 dengan pangkat Penolong Penguasa Polis (ASP) di Daerah Muar, Johor," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Iklan

Tambah Saifuddin Nasution, Razarudin kemudiannya dilantik sebagai ASP Pentadbiran di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar dan seterusnya dilantik sebagai Ketua Bahagian Pengurusan di daerah sama pada tahun 1997.

Katanya, pada tahun 1998 beliau kembali bertugas di JSJ Daerah Muar sebagai Pegawai Penyiasat Kanan dan di jabatan yang sama di Kontinjen Johor.

"Kemudian beliau ditempatkan di JSJ Daerah Kota Setar dan dinaikkan pangkat ke Timbalan Penguasa Polis (DSP) dengan memegang jawatan sebagai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Sandakan," ujarnya.

Katanya lagi, selepas itu, Razarudin dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kudat dan berkhidmat selama tiga tahun.

"Beliau kembali ke JSJ Bukit Aman di Operasi Khas D8 dengan pangkat Superintenden dan menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana.

"Sekembalinya dari belajar, beliau dinaikkan pangkat ke Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) dan ditempatkan sebagai Penolong Pengarah D9, JSJ Bukit Aman.

"Setelah itu beliau dinaikkan pangkat ke Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) dengan menjawat jawatan sebagai Timbalan Komander, Special Task Force On Organise Crime (STFOC), Skuad Taktikal Khas 1 (Jenayah), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sebelum ke Kontinjen Pulau Pinang sebagai Ketua JSJ.

"Beliau dinaikkan pangkat ke Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah dan dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Perak dua tahun selepas itu, seterusnya dinaikkan pangkat ke Pesuruhjaya Polis dengan memegang jawatan sebagai Ketua Polis Perak," katanya.

Ujarnya, Razarudin kemudian beliau dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman selama setahun sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara mulai tahun 2021.

ARTIKEL BERKAITAN:

Calon KPN: Nama Razarudin dipersembah kepada Agong

Razarudin, Ayob Khan bakal terajui PDRM

Majlis Paluan Berundur persaraan KPN Khamis