KUALA TERENGGANU – Seramai 119 guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin mengenakan pakaian seragam sekolah sebagai gimik majlis sambutan Hari Guru bertemakan ‘Back To School’ yang diadakan di sekolah itu, semalam.
Apa yang menarik, kesemua guru menaiki bas sejauh 3km menuju ke sekolah sambil merakam nilai-nilai murni dan akhlak terpuji menerusi konsep pelajar contoh dan berbudi bahasa untuk ditayangkan kepada pelajar.
Pengerusi Kelab Guru dan Kakitangan SMK Padang Midin, Nik Mohd Azuan Nik Muhammad berkata, gimik itu berjaya menarik minat pelajar untuk terus memberi perhatian sepanjang acara itu berlangsung.
"Selain mengimbau kembali zaman persekolahan, kesemua guru juga tidak kekok untuk memakai pakaian seragam sekolah bagi menjayakan sambutan Hari Guru peringkat sekolah.
"Kita yakin, objektif untuk menarik perhatian pelajar terhadap penerapan nilai-nilai murni, misalnya mengikut peraturan beratur ketika menaiki bas, bertimbang rasa dan tidak gopoh.
"Walaupun nampak remeh, hakikatnya tidak semua mampu mengikuti peraturan begitu. Itu antara sebab kita lakukan gimik sebegini untuk terus memberi peringatan kepada para pelajar supaya tidak lupa mengikut peraturan dan undang-undang ditetapkan,” katanya.