KUANTAN - Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) berjaya merampas 127,770 ubat tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi bernilai lebih RM3.2 juta di negeri ini dalam tempoh 2018 hingga 12 Jun lalu.
Kejayaan iitu hasil siri serbuan ke atas 424 premis di seluruh negeri dalam tempoh tersebut.
Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, daerah Jerantut merekodkan nilai rampasan tertinggi dengan RM1 juta.
Menurutnya, untuk tempoh tahun ini sehingga 12 Jun lalu, sebanyak 42 premis telah diserbu dan 13,340 ubat dan kosmetik tidak berdaftar berjaya dirampas membabitkan nilai rampasan RM230,000.
"Terbaharu pada 12 Jun lalu, CPF JKNP menyerbu dua premis di Temerloh dan Kuantan melalui Ops Shine membawa kepada rampasan ubat tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi bernilai RM193,000.
"Dalam siri serbuan dilakukan JKNP, turut dirampas peranti digital seperti komputer peribadi, komputer riba dan telefon bimbit yang digunakan sebagai medium untuk memasarkan produk," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Inisiatif Sahabat Ubat Pahang (Sobat Pahang) di Indera Mahkota di sini pada Rabu.
Dr Nor Azimi berkata, berdasarkan laporan, kebanyakan ubat tidak berdaftar yang dirampas ialah ubat kuat dan ubat sakit sendi manakala kosmetik tidak bernotifikasi pula lebih kepada produk kecantikan.
"Selain dijual dipremis perniagaan, kita dapati produk-produk ubat dan kosmetik tanpa kelulusan itu turut dijual melalui pelbagai aplikasi media sosial dan mendapat permintaan tinggi ekoran pengaruh testimoni yang diuar-uarkan," ujarnya.
Beliau berkata, dalam tempoh 2020 hingga tahun lalu, sebanyak 311 kes berkaitan telah didakwa di mahkamah dengan nilai denda RM597,100.
"Berdasarkan jumlah aduan diterima dalam tempoh 2018 hingga tahun lalu, hanya 30 peratus diterima daripada orang awam berkenaan ubat tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi diterima di negeri ini.
"Hasil tinjauan dijalankan secara dalam talian tahun lalu mendapati 58 peratus orang awam di negeri ini tidak tahu cara untuk menyalurkan aduan berkenaan isu itu," jelasnya.
Sementara itu katanya, CPF Pahang telah melaksanakan Sobat Pahang, suatu inovasi berasaskan laman sesawang sebagai pusat sehenti untuk memudahkan orang awam menyalurkan aduan dan mendapatkan maklumat berkenaan ubat berdaftar dan kosmetik bernotifikasi
"Sobat Pahang dilengkapi fungsi antaranya semakan status pendaftaran ubat dan notifikasi kosmetik, semakan ketulenan hologram, status kelulusan iklan ubat, saluran aduan dan maklumat kesedaran berkaitan ubat berdaftar dan kosmetik.
"Orang ramai hanya perlu mengimbas kod QR untuk mengakses pautan Sobat Pahang yang telah diedarkan," ujarnya.
Beliau berkata, melalui inisiatif itu akan dapat memperhebatkan lagi kerjasama orang awam dan JKNP dalam membanteras ubat tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi di pasaran, sekali gus melindungi kesihatan rakyat negeri ini.