KUALA LUMPUR - Jabatan Audit Negara akan mengukuhkan peranannya dalam menjalankan pengauditan terhadap penyata kewangan tahunan dan laporan prestasi agensi awam, kata Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi yang baru dilantik.
Wan Suraya berkata, perkara itu merupakan keutamaannya ketika ini selain memastikan sistem audit sektor awam kekal mampan dan lestari.
"Jabatan Audit Negara akan sentiasa peka dan prihatin dalam menjalankan kuasa pengauditan untuk memeriksa dan menyiasat pengurusan wang awam dengan tumpuan kepada kepentingan rakyat dan akauntabiliti kementerian dan jabatan kerajaan terhadap wang pembayar cukai yang dibelanjakan.
"Bagi tujuan tersebut, Jabatan Audit Negara akan terus menjalin kerjasama dengan semua pihak termasuk agensi awam dan badan lain yang berkaitan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Wan Suraya turut menjunjung kasih atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung pelantikannya sebagai Ketua Audit Negara bermula 13 Jun lepas.
Wan Suraya berkata, berbekalkan 29 tahun pengetahuan dan pengalaman dalam perkhidmatan awam termasuk jawatan terakhir sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM), beliau komited dan beriltizam untuk memacu Jabatan Audit Negara menjadi sebuah institusi audit unggul.
Beliau juga komited untuk bersama warga Jabatan Audit Negara dalam usaha mentransformasi dan menstrukturkan semula sistem pengauditan serta memantapkan pengurusan kewangan negara.
"Kepercayaan orang ramai terhadap sektor awam sebahagian besarnya adalah berdasarkan persepsi dalam aspek kecekapan, kebolehpercayaan dan kejujuran yang dipamerkan, justeru sektor awam perlu beroperasi dengan kompeten, amanah, jujur dan berintegriti.
"Institusi-institusi kerajaan juga mesti bertanggungjawab sepenuhnya terhadap wang yang dibelanjakan dan setiap perbelanjaan haruslah memberi impak positif kepada kehidupan rakyat Malaysia,” katanya. - Bernama