PUTRAJAYA - Pendaftaran program eBeliaRahmah bagi belia berumur 18 hingga 20 tahun atau pelajar sepenuh masa di institut pengajian tinggi (IPT) untuk menerima kredit RM200 akan bermula Isnin depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan telah memperuntukkan RM400 juta bagi program tersebut di bawah Belanjawan 2023 yang akan memanfaatkan dua juta belia.
"Selain bertujuan untuk terus memupuk budaya pembayaran tanpa tunai dalam kalangan belia, inisiatif ini juga sedikit sebanyak meringankan beban kewangan mereka," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pendaftaran program tersebut boleh dilakukan menerusi salah satu daripada tiga penyedia perkhidmatan e-dompet iaitu Boost, Setel dan Touch ‘n Go eWallet.
Jelasnya, tempoh pendaftaran dan tuntutan eBelia Rahmah adalah mulai 26 Jun 2023 sehingga 22 Ogos
"Manakala kredit eBeliaRahmah serta manfaat padanan daripada penyedia perkhidmatan e-dompet terlibat boleh dibelanjakan secara ‘offline’ sehingga 31 Ogos depan," ujar Anwar.
Tambahnya, kredit RM200 itu juga boleh dimanfaatkan di kedai peruncit atau peniaga yang menerima pembayaran melalui kod QR DuitNow dengan menggunakan salah satu e-dompet terlibat dalam program berkenaan, tertakluk kepada transaksi yang dibenarkan.
"Untuk maklumat lanjut mengenai e-Belia Rahmah, layari https://budget.mof.gov.my/manfaat/faq/ebeliarahmah.htm," katanya.