KUALA LUMPUR - Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown yang berdepan pertuduhan memfitnah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah akan kekal dibicarakan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.
Ini selepas Hakim Mahkamah Tinggi, K. Muniandy menolak permohonannya untuk memindahkan kes itu dari Mahkamah Majistret Kuala Terengganu ke Mahkamah Tinggi di sini.
Semasa menolak permohonan itu, Muniandy berkata, kuasa pemindahan di bawah Seksyen 417 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) hanya perlu dilaksanakan jika mahkamah mendapati sekiranya tidak berbuat demikian boleh menyebabkan perbicaraan yang tidak adil atau berat sebelah.
"Permohonan oleh pemohon (Rewcastle-Brown) kurang merit. Oleh itu ditolak,” kata hakim itu dan menambah bahawa kebimbangan Rewcastle-Brown bahawa beliau tidak akan diberikan perbicaraan yang adil di Kuala Terengganu adalah tidak munasabah.
Hakim juga memberikan beberapa alasan, antaranya tertuduh dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah, majistret yang mendengar kes di Kuala Terengganu adalah bebas dan tidak berat sebelah dan beliau (Rewcastle-Brown) tidak dihalang untuk menyampaikan hujahan terhadap fakta dan undang-undang sebelum majistret mencapai sesuatu penemuan.
"Pemohon tertakluk kepada undang-undang negara di mana beliau didakwa melakukan jenayah, oleh itu sistem perundangan Malaysia, termasuk proses keadilan jenayah negara diguna pakai,” kata hakim itu.
Hakim kemudiannya memerintahkan kes itu didengar di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu dan perlu diteruskan ke perbicaraan tanpa sebarang halangan lagi memandangkan tarikh pertuduhan sudah lama iaitu pada 23 Sept 2021.
Rewcastle-Brown yang berasal dari United Kingdom didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu secara tanpa kehadiran tertuduh pada September 2021 atas pertuduhan itu mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Beliau dituduh mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap Sultanah Nur Zahirah melalui buku"The Sarawak Report - The Inside Story of the 1MDB Expose”.
Timbalan Pendakwa Raya, Noor Haslinda Che Seman mewakili pendakwaan manakala Rewcastle-Brown diwakili peguam Guok Ngek Seong. Hadir sama prosiding hari ini, Siti Anis Che Ab Wahab yang bertindak sebagai peguam pemerhati bagi Sultanah Nur Zahirah.
Mahkamah Majistret Kuala Terengganu menetapkan 25 Jun untuk sebutan kes. - Bernama