SEREMBAN - Bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dipenjara enam bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas lima pertuduhan memperdayakan lima mangsa dengan membuat pembayaran tidak wujud melibatkan kerugian hampir RM20,000 bulan lepas.
Tertuduh, Mohamad Norikhwan Adha Mohamad Soffian, 26, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret, Nurul Saqinah Rosni.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memperdaya seorang lelaki dengan membuat pembayaran tidak wujud secara dalam talian berhubung pembelian sebuah motosikal Yamaha 125ZR berjumlah RM10,500 sehingga mendorong lelaki berkenaan menyerahkan motosikal tersebut.
Pertuduhan kedua hingga keempat pula, tertuduh didakwa memperdaya tiga mangsa berasingan berhubung pembelian tiga jenis telefon bimbit iPhone 13 Pro Max bernilai RM3,750, iPhone 12 Pro Max (RM2,550) dan iPhone 11 beserta 11 barangan telekomunikasi bernilai RM2,569.
Tertuduh sama turut didakwa memperdayakan seorang lagi mangsa dengan membuat pembayaran secara dalam talian yang tidak wujud untuk pembelian pakaian lelaki bernilai RM507.50.
Kesemua perbuatan berkenaan didakwa dilakukan pada 17 hingga 18 Mei lepas antara jam 5.02 petang hingga 7.36 malam di sekitar kawasan Nilai.
Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama yang membawa hukuman penjara hingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Tertuduh yang diwakili peguam Syed Fadil Syed Othman dan M Parameswari dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara paling minimum memandangkan tertuduh tidak bekerja dan perlu menanggung ibu bapanya yang uzur, isteri dan seorang anak.
Selain itu katanya, sekiranya tertuduh dikenakan hukuman penjara, tertuduh memohon untuk dihantar ke penjara Tapah, Perak kerana keluarganya berada di sana.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Muhaimin Mohd Azman dan Nik Nur 'Aqilah Syarfa Nik Zaidi.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara selama enam bulan terhadap tertuduh dari tarikh sabitan.
Dalam mahkamah sama, tertuduh bersama Muhammad Asyraf Zaini, 27, dan Abdul Rahman Zaini, 30, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki dadah berbahaya jenis syabu anggaran berat 6.30 gram di sebuah rumah beralamat di Taman Desa Palma, dekat Nilai, jam 10 pagi, 16 Jun lalu.
Justeru, ketiga-tiga tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(1) akta yang sama.
Ketiga-tiga tertuduh diberi jaminan sebanyak RM3,000 seorang dan sebutan semula kes ditetapkan pada 21 Ogos depan.