IPOH - Seramai 1,106 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tercicir di Perak berpeluang mengikuti Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang disediakan kerajaan negeri.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah berkata, mereka berpeluang untuk memperbaiki pencapaian akademik masing-masing bagi menjamin masa depan.
"Pelbagai faktor calon ini menolak mengikuti SPM dan salah satunya mungkin mereka hanya berminat dalam bidang teknikal.
"Jadi, kita ada pelbagai kursus, agensi, institut pengajian tinggi (IPT) yang menawarkan kursus TVET.
"Bagaimanapun, ia bergantung kepada niat dan kehendak untuk belajar kerana dengan ada kemahiran, mereka boleh meningkatkan pendapatan serta boleh mencari ruang pekerjaan tetapi mesti ada niat ingin belajar, itu penting," katanya ketika diminta mengulas mengenai usaha kerajaan negeri dalam membantu pelajar yang keciciran pada SPM 2022.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program 3R (Read, Record and Reward) di Perpustakaan Awam Dato' Seri Husni di Chemor di sini pada Rabu.
Hadir sama, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak, Rafidah Abd Aziz dan Pengarah Urusan Mimbar Nusantara Holdings Sdn Bhd, Nazrin Cheong Abdullah.
Sementara itu, Khairudin berkata, bilangan guru yang memohon untuk bersara lebih awal lebih ramai berbanding mereka yang bersara wajib antara isu yang diberi perhatian.
Beliau bagaimanapun tidak memperoleh jumlah yang tepat terhadap bilangan permohonan tersebut di Perak.
"Antara faktor yang boleh dilihat guru bersara awal ini kerana tiada tanggungan anak-anak dan gagal menguasai atau mengikuti perkembangan sistem pendidikan yang dinamik.
"Pada pandangan saya, permohonan mereka ini perlu dikaji sepenuhnya supaya kemahiran, kepakaran guru-guru bersara awal ini, kadang-kadang tiada penggantinya.
"Kalau guru itu hebat dari segi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP), apabila dia bersara, secara automatik kepakaran dia pun akan ikut sama dan orang yang mengambil alih tempat tersebut belum tentu dapat menghasilkan produk yang baik dan juga kemenjadian murid itu,” ujarnya.
Tambah Khairudin, pengambilan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia mungkin boleh mengatasi masalah kekurangan guru membabitkan 19,000 kekosongan seluruh negara.