SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kempen keselamatan SIRIM QAS International Sdn Bhd, anak syarikat penuh SIRIM Berhad memberi impak positif kepada masyarakat khususnya dari segi keprihatinan terhadap standard piawaian produk atau barangan di pasaran.
Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM Qas International, Nur Fadhilah Muhammad berkata, isu keselamatan merupakan perkara penting bagi memastikan orang ramai dapat melindungi diri mereka daripada risiko menggunakan barangan yang tidak mendapat kelulusan daripada SIRIM.
Tambahnya, kempen yang diadakan dengan kerjasama pelajar tahun akhir program Advokasi Awam (INCspect) Komunikasi Antarapersonal Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) mampu meningkatkan kepentingan pengguna terhadap produk atau perkhidmatan diiktiraf SIRIM.
"Slogan ‘ada SIRIM baru beli’ memberi kesan positif kepada masyarakat tentang keselamatan barang atau perkhidmatan berada di pasaran.
"Pengguna sekarang lebih peka terhadap logo SIRIM dan kerjasama semua pihak mampu meningkatkan lagi kesedaran masyarakat mengenai produk atau perkhidmatan yang diiktiraf oleh syarikat kami,” katanya semasa majlis sumbangan 570 topi keledar kepada pelajar UITM pada Rabu.
Menurut Fadhilah, inisiatif dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu dilakukan sebagai langkah menyokong usaha mengurangkan kadar kecederaan berat akibat penggunaan topi keledar tidak menepati standard yang ditetapkan serta diuji oleh SIRIM QAS International.
"UITM dipilih sebagai rakan strategik kami bersandarkan peratusan pelajar mereka yang menggunakan motosikal lebih tinggi berbanding kereta sebagai mod kenderaan utama ke universiti,” jelasnya.
Sementara itu, Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UITM, Profesor Abd Rashid Abd Rahman berkata, kolaborasi antara SIRIM dan pelajar UITM memberi manfaat kepada komuniti dan mampu membina kesedaran mengenai kepentingan keselamatan.
"Program ini penting bukan sahaja memberi topi keledar kepada para pelajar sahaja, tetapi memupuk masyarakat membeli barangan yang telah ditetapkan standard dan piawaian keselamatan supaya ia lebih terjamin,” katanya.