SUNGAI DUA - 'Ia ibarat satu pemutihan dalam parti secara semulajadi, demikian tegas Ketua Umno Bahagian Tasek Gelugor Muhammad Yusoff Mohd Nor berkaitan isu beberapa pimpinan Umno yang mengambil pendekatan keluar daripada parti tersebut.
Langkah ini disifatkan sebagai tindakan individu dan tidak mewakili akar umbi dalaman Umno itu sendiri.
Muhammad Yusoff berkata perkara ini bukan satu isu yang perlu dikejutkan dan ia sememangnya satu senario yang boleh berlaku.
"Kita lihat politik di Sabah berbeza berbanding semenanjung, Umno masuk di Sabah sekitar tahun 1991, sebelum itu tiada parti yang dominan yang kekal di sana.
"Umno masuk di Sabah dan ketika itu bermulanya sedikit perubahan geopolitik di Sabah, boleh dikatakan wujudnya Umno di Sabah membawa satu perubahan dan ia kekal sehinggalah selepas PRU14, dan kini kita menyaksikan pimpinan tertinggi Sabah keluar daripada Umno," katanya.
Beliau berkata, mungkin mereka yang keluar ini mempunyai pelbagai alasan yang tersendiri untuk berbuat demikian.
"Kita rasa tak terkejut kerana senario politik berbeza, ada setengah pihak nak cari jalan pintas, mungkin ada alasan lain yang menyebabkan mereka bertindak seperti itu.
"Apa pun bagi saya, ini salah satu cara pemutihan parti kerana biarpun Umno tewas di peringkat persekutuan dan tidak lagi menjadi kerajaan, peringkat akar umbi masih lagi kuat, sokongan setiap cawangan masih lagi utuh dan padu sehingga sukar parti lain nak tarik ahli di peringkat bawahan ini," katanya.
Jelasnya, tindakan mereka ini tidak akan menjejaskan Umno itu sendiri.
"Seperti saya katakan, sokongan peringkat akar umbi masih lagi kuat dan sukar digugat mana-mana pihak, apa yang dilakukan Umno adalah membela agama, bangsa dan tanah air.
"Apa pun berlaku Umno itu masih kuat, dan masa sama Umno perlu ambil iktibar walaupun kita hadapi kekalahan pada PRU14 lalu, kita kena ambil benda positif," katanya.
Tambahnya, apa yang penting Umno perlu ada pengislahan dalam pelbagai sudut dalam parti.
"Kita akui ada kelemahan kesilapan pada masa ini kita perlu mengislahkan ahli parti mengkuhkan parti dalam membela nasib parti, walaupun Umno bukan kerajaan tapi Umno memperjuangkan nasib petani, nelayan dan sebagainya.
"Ini salah satu pemutihan semula jadi, dia nak keluar dia keluar, kita ada pelapis di Sabah, masa inilah peluang kita meremajakan parti bila lompat kepimpinan lama yang tak kuat mental mungkin ada masalah peribadi sebagainya," katanya.