KUALA SELANGOR - Parti Amanah Negara (Amanah) sedia mempertahankan lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor yang disandang parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Pengarah Strateginya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sudah semestinya Amanah mahu memenangi lapan kerusi DUN tersebut.
"Kita kalau bersaing (dalam pilihan raya) sememangnya mahu menang dan bukannya untuk kalah," katanya ketika ditemui pada Program Serahan Bayaran Faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada seorang mangsa kemalangan di Kampung Parit Mahang, di sini pada Rabu.
Ditanya mengenai kerusi bakal ditandingi Amanah pada PRN Selangor, beliau berkata, jumlah sebenar kerusi itu akan diumumkan kepimpinan tertinggi dalam tempoh terdekat.
"Semua itu sudah boleh dijangka dan kerusi penyandang (Amanah) juga ada lapan (di Selangor).
"Itu satu teka teki menarik dan biar kepimpinan atasan membuat keputusan kerana kita memang ada perbincangan dan bersiap siaga menghadapi PRN kali ini," ujar beliau.
Mengulas mengenai saingan Perikatan Nasional (PN) pada PRN di Selangor, Dr Dzulkefly mengakui kemungkinan Pakatan Harapan (PH) bakal menghadapi saingan sengit.
Katanya, PN dijangka menggunakan medium media sosial untuk berkempen dalam pilihan raya sebelum ini.
Sehubungan itu, katanya, rakyat diyakini terus memberi sokongan padu kepada kerajaan Selangor yang gigih berkhidmat terutama dalam isu pekerjaan, kesihatan dan ekonomi sejak beberapa penggal lalu.
"Kita yakin PH mempunyai peluang untuk menang pada PRN kali ini kerana kita membawa perkara penting terutama dari segi kebajikan kepada kehidupan rakyat," jelasnya.