Aktiviti penyelewengan diesel tumpas

Iklan
Mohd Khairi (kanan) menunjukkan lori yang diubah suai oleh pihak sindiket bagi mengisi minyak diesel berjaya ditahan dalam satu operasi khas di Shah Alam pada Isnin.

SHAH ALAM - Bukan sekali sekala tetapi ia merupakan aktiviti harian dilakukan satu sindiket menyeleweng minyak diesel membabitkan sebuah stesen minyak di Seksyen 22, dekat sini.

Bagaimanapun, aktiviti yang dipercayai dijalankan sejak enam bulan lalu akhirnya tumpas apabila empat lelaki bersama tiga buah lori ditahan pada Isnin.

Iklan
Iklan

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Selangor, Mohd Khairi Jamaludin berkata, satu operasi hendap secara strategik telah dilakukan bersama petugas khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberkas sindiket tersebut.

Beliau berkata, serbuan di stesen minyak tersebut membolehkan KPDN Negeri Selangor menyita minyak diesel berjumlah 13,802 liter yang dipercayai telah diisi ke dalam tiga buah lori diubah suai.

Iklan

Kata beliau, intipan yang dilakukan beberapa jam sebelum serbuan menyaksikan lori-lori tersebut telah mengisi minyak ke dalam tangki biasa, sebelum disedut menggunakan pam khas ke tangki yang telah diubah suai atau tangki tambahan.

"Modus operandi suspek sindiket ini adalah mengisi minyak menggunakan nozel pengisi secara serentak serta membuat dua transaksi pembayaran dalam satu-satu masa.

Iklan

"Bukan sekali sekala kumpulan sindiket ini membuat penyelewengan tetapi ia dilakukan pada setiap hari antara jam 9 malam hingga 1 pagi, malah suspek dipercayai membuat pengisian secara berulang antara enam hingga 10 kali satu hari untuk dihantar ke stor penyimpanan.

"Kita percaya, ia bukan sahaja dijual kepada pihak industri malah diseludup ke negara jiran," katanya pada sidang akhbar pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mohd Khairi berkata, kesemua lori yang disita tidak mempunyai dokumen atau permit untuk urusan membeli barangan kawalan daripada KPDN.

Katanya, dalam serbuan tersebut, sebuah treler yang mempunyai tangki tambahan berkapasiti 20,000 liter telah digunakan untuk mengisi minyak sebanyak 8,352 liter, sementara dua lori lagi berjaya mengisi lebih daripada 5,000 liter.

Menurutnya, nilai minyak diesel dan lori yang disita dianggarkan berjumlah RM250,000.

Selain itu kata beliau, pihaknya juga merampas wang tunai berjumlah RM20,000 yang dipercayai hasil jual beli minyak diesel bersubsidi tersebut.

Tambahnya, selain tiga lori dan empat suspek warga tempatan dipercayai sebagai pemandu lori, seorang warga asing merupakan pekerja stesen minyak telah direman sehingga Jumaat ini.

Ditanya sama ada pihak pengurusan stesen minyak terlibat dengan aktiviti penyelewengan tersebut, beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan dan keterangan percakapan telah diambil.

Jelasnya, siasatan dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 ke atas pemilik stesen minyak kerana melanggar Peraturan 12A kesalahan di bawah Peraturan 21 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974 kerana menjual diesel kepada kenderaan melebihi 250 liter, seperti yang ditetapkan oleh Pengawal Bekalan.