'Saya reda, sudah buat terbaik ketika hayat mama ada' - Kilafairy

Iklan
Jenazah Rohana Jalil selamat dikebumikan Tanah Perkuburan Islam USJ22, Subang Jaya, sekitar 11.45 pagi Rabu.

PENYANYI dan pelakon, Kilafairy menganggap peluang berada bersama dan menemani ibunya sehingga ke nafas terakhir adalah momen tidak akan dilupakannya.

Meskipun sedih dengan kehilangan itu, Kila, 31, reda dengan takdir dengan pemergian ibunya, Allahyarham Rohana Jalil yang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada jam 11.34 malam tadi.

Iklan
Iklan

"Alhamdulillah, arwah pergi dalam keadaan baik dan segala urusan jenazah termasuk pengebumian dipermudahkan. Malah, arwah juga pergi dalam keadaan tersenyum.

"Saya lega kerana sudah buat yang terbaik ketika hayatnya masih ada. Dari awal dia sakit dan dimasukkan ke hospital sehinggalah pada saat pemergiannya, saya ada di sisi.

Iklan

"Malah saya juga berpeluang memandikan dan mengambil wuduk untuknya,” katanya yang ditemui ketika majlis pengebumian Allahyaraham ibunya.

Gambar kenangan Kilafairy bersama Allahyarham ibunya, Rohana Jalil.

Kila atau nama sebenarnya, Syakila Nisha, mengakui terlalu banyak kenangan bersama Allahyarham yang akan kekal kemas dalam ingatan, termasuk pesan dan nasihat yang diberikan selama ini.

Iklan

"Arwah mama seorang yang sangat lucu dan suka bergurau. Kami banyak menghabiskan masa bersama kerana saya belum berkahwin dan masih tinggal bersamanya.

"Pesan yang paling saya ingat adalah nasihatnya agar saya sentiasa menghormati orang yang lebih tua dan tidak lupa diri,” katanya yang kelihatan cukup tenang.

Terdahulu Rohana yang juga merupakan penyanyi popular era 1980-an dimasukkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sejak April lalu akibat kebocoran usus.

Kebocoran usus dialami menyebabkan kuman merebak ke beberapa organ utama seperti paru-paru dan buah pinggang sebelum disahkan meninggal dunia sekitar jam 11.33 malam Selasa.

Jenazah ibu kepada tiga cahaya mata itu selamat dikebumikan Tanah Perkuburan Islam USJ22, Subang Jaya, sekitar 11.45 pagi Rabu.