SHAH ALAM - Kurang pengetahuan dan kesedaran mengenai rasuah menjadikan ada segelintir golongan belia terjebak dalam amalan tidak bermoral itu.
Yang Dipertua Pertubuhan Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Kuala Lumpur, Zainal Adnan Abdul Halim berkata, permasalahan itu akan menyebabkan mereka tidak dapat membezakan antara pemberian ikhlas atau sogokan daripada mana-mana individu yang mempunyai agenda lain
"Ia akan membuatkan mereka menganggap isu rasuah bukanlah masalah yang besar dan lebih membimbangkan ia akan dijadikan sebagai kebiasaan pada masa akan datang.
"Justeru, bagi mengelakkan daripada kes terus meningkat maka pencegahan perlu dilakukan pada peringkat awal iaitu bermula dari peringkat sekolah,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Zainal Adnan menegaskan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) seharusnya memainkan peranan dalam memastikan anak-anak ini diberi pendedahan awal bermula dengan guru-guru yang diwajibkan menghadiri kursus pencegahan rasuah.
Katanya, guru-guru menjadi tunjang utama dalam membantu pelajar mengenali isu terbabit di peringkat awal persekolahan kerana mereka banyak meluangkan masa di sekolah berbanding rumah.
Terdahulu, media melaporkan seramai 85 belia yang berusia antara 17 hingga 24 tahun yang dikesan terbabit dalam kes rasuah.
Perkara itu didedahkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Norazlan Mohd Razali.
Beliau berkata, jumlah itu adalah belia yang ditahan atas pelbagai kesalahan rasuah bagi tempoh dari 2018 hingga tahun lalu.
"Berdasarkan statistik SPRM, seramai 85 belia berusia antara 17 hingga 24 tahun telah ditangkap atas kesalahan rasuah bagi tempoh dari tahun 2018 hingga 2022,” katanya.
Zainal menambah, pihak kementerian juga wajar memberi kebenaran kepada badan bukan kerajaan (NGO) untuk memberi taklimat atau kempen kesedaran mengenai rasuah secara berkala.
Katanya, tindakan itu mampu membantu pelajar-pelajar mengetahui tentang bahaya rasuah dan risikonya terhadap diri sendiri pada masa akan datang.