'Arwah isteri terbaik dalam segala segi' - Suami Rohana Jalil

Iklan
Rohana disahkan meninggal dunia sekitar 11.33 malam Selasa dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ22, Subang Jaya, sekitar 11.45 pagi Rabu.

SUBANG JAYA - Suami Allahyarham Rohana Jalil, Jahangir Khan, 66, menyifatkan penyanyi popular era 1980-an itu sebagai isteri yang terbaik dalam segala aspek.

Menurut Jahangir, selama 40 tahun hidup bersama, mereka tidak pernah berdepan masalah atau krisis besar kerana saling memahami dan menjaga rumah tangga dengan baik.

Iklan
Iklan

"Arwah adalah seorang isteri yang terbaik dalam segala segi. Dia mempunyai keperibadian yang sangat murni, tiada ganti.

"Sepanjang hidup bersama, kami tidak pernah berdepan krisis besar dan saya bersyukur dapat berada di sisinya sehingga ke akhir hayat arwah,” katanya yang merupakan seorang pesara polis.

Iklan
Jahangir Khan

Lebih dua bulan menjaga arwah isteri yang dimasukkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sejak April lalu akibat kebocoran usus, Jahangir mengakui sukar melupakan segala kenangan ketika masih bersama Allahyarham.

"Saya masih terdengar-dengar suara dan gelak ketawanya yang cukup gemar bercerita. Alhamdulillah selama 40 tahun hidup bersama, saya sangat bahagia.

Iklan

"Sebelum pemergiannya, saya tidak nampak apa-apa tanda, melainkan fizikalnya yang semakin susut. Saya pernah beberapa kali mengajak dia melakukan pemeriksaan kesihatan kerana bimbang akan keadaannya, tetapi dia sering menolak.

"Akhirnya pada April lalu, pada satu malam dia mengadu sakit dan esoknya saya terus membawanya ke hospital. Doktor mengesahkan arwah mengalami kebocoran usus. Tidak lama selepas itu, kuman merebak ke beberapa organ utama seperti paru-paru dan buah pinggang,” jelasnya.

Rohana disahkan meninggal dunia sekitar 11.33 malam Selasa dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ22, Subang Jaya, sekitar 11.45 pagi Rabu.

Allahyarham yang menutup usia pada 68 tahun itu meninggalkan suami dan tiga anak.

ARTIKEL BERKAITAN: Rohana Jalil meninggal dunia

Rakan artis kongsi duka pemergian Rohana Jalil

Jenazah Rohana Jalil disembahyangkan di Masjid Al-Falah

Jenazah Rohana Jalil selamat dikebumikan

Rohana Jalil dalam keadaan lemah - Haiza