JERANTUT - [DIKEMAS KINI] Penduduk di Kampung Bukit Mat Daling dekat Ulu Tembeling di sini, mula resah dan mengharapkan projek pembinaan jalan dari kampung itu ke Kampung Pasir Raja, Dungun, Terengganu diteruskan demi kemudahan yang ditagih mereka sejak hampir 70 tahun lalu.
Ia berikutan kerja-kerja pembinaan projek melibatkan laluan sepanjang 52.55 kilometer (km) itu difahamkan sudah tidak dijalankan sejak bulan ini selepas ia dimulakan pada November tahun lalu.
Buat masa ini, mereka yang berasal dari Jerantut akan menempuh jarak sekitar 430 km melalui Lebuhraya Pantai Timur dan Kuantan untuk sampai ke Hulu Dungun tetapi dengan jalan baharu ini dapat mengurangkan tempoh perjalanan dua jam.
Seorang penduduk, Wan Putra Wan Abdul Ghafar, 59, memberitahu, mereka terdengar ura-ura projek jalan itu hendak ditangguhkan.
"Kami harap projek ini diteruskan kerana dapat memendekkan jarak perjalanan selain meningkatkan taraf ekonomi penduduk di sini dengan meniaga kecil-kecilan.
"Selain itu, ia juga dapat membantu mengelakkan kesesakan khususnya ketika musim perayaan dan cuti am," katanya.
Seorang lagi penduduk, Maisarah Doll, 49, menyifatkan pembinaan jalan tersebut akan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk di sini.
"Jika projek ini ditangguhkan atau dibatalkan, kami sukar mendapat peluang untuk meningkatkan ekonomi kerana buat masa ini hanya bergantung dengan hasil getah," katanya.
Tambah Maisarah, dengan laluan tersebut itu nanti penduduk berpeluang untuk memasarkan hasil seperti ikan, sayur-sayuran untuk pasaran lebih luas.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Bukit Mat Daling, Wan Mohd Suhaimi Wan Ishak, 52, berkata, penduduk mula resah selepas mendengar ura-ura tersebut.
Ujar beliau, penduduk sudah lama menunggu kerana sebelum ini sudah beberapa kali projek tersebut tidak dilaksanakan.
"Jalan ini juga sangat penting buat penduduk kerana lebih 60 peratus memiliki hubungan kekeluargaan di Pasir Raja. Sudah lama kami menunggu jalan ke Kampung Pasir Raja, Dungun," katanya.
Sebelum ini, pada November 2021, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan meneruskan projek pembinaan jalan baru kampung terlibat yang dijangka siap pada 2024.
Selain kampung terbabit, kampung lain yang terlibat dalam projek itu antaranya Kampung Bantal, Kampung Pagi dan Kampung Kuala Sat.