SHAH ALAM - Kerajaan disarankan supaya segera berbincang langkah-langkah untuk menangani isu krisis kejatuhan wang ringgit yang berlaku di negara ini.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil berkata, ringgit sudah lama jatuh dan jika berterusan ia akan membawa kesan buruk terhadap harga barang dan makanan yang banyak bergantung kepada import.
"Rafizi kata kerajaan tidak bincang lagi pun tentang sama ada kerajaan akan campur tangan untuk mempertahankan ringgit, dia kata kita bukan ada banyak rizab pun untuk mempertahankan ringgit.
"Ada banyak cara kerajaan boleh mempertahankan ringgit dan bukan hanya dengan menggunakan rizab.
"Perlu bincang segera, jika tidak takkan kerajaan ingin biarkan ringgit jatuh begitu sahaja, Rafizi (Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli)?” soalnya dalam siaran di Facebook pada Rabu.
Pada Selasa, media melaporkan bahawa Rafizi memaklumkan tiada sebarang perbincangan dibuat oleh kerajaan untuk terbabit secara terus dalam mengimbangi isu kejatuhan pasaran modal dan ringgit yang mencetuskan kebimbangan banyak pihak pada waktu ini.
Menurutnya, kerajaan melihat setiap campur tangan bagi menyokong pasaran modal dan ringgit akan membabitkan kos yang besar, yang mana dana itu sepatutnya disalurkan kepada keperluan rakyat dan pembangunan ekonomi Malaysia.