MELAKA - Penternak di negeri ini mengakui tempahan lembu korban pada tahun ini berkurangan berbanding tahun sebelumnya disebabkan beberapa faktor termasuk kenaikan harga lembu lebih 20 peratus.
Mohd Nor Ismail, 54, berkata, kenaikan harga lembu disebabkan kos bahan makan yang meningkat dan kekurangan pekerja ladang, selain rakyat dihimpit kos sara hidup tinggi.
Menurutnya, purata harga satu bahagian lembu korban pada tahun ini sekitar RM750 hingga RM850, berbanding sebelum ini mereka yang menyertai ibadah itu dikenakan kadar bayaran sebanyak RM500 hingga RM550 bagi satu bahagian.
Malah katanya, sebelum pandemik Covid-19 harga bagi berat 170 kilogram (kg) hingga 200kg lembu dianggarkan RM4,000 seekor, namun kini harga mencecah hingga RM,5000 bagi berat yang sama.
"Jadi penternak terpaksa naikkan sedikit harga lebih-lebih lagi kawasan rumput terhad dan pekerja kurang menyebabkan 70 peratus bayaran untuk kos operasi sahaja," katanya yang menceburi bidang penternakan lembu dan kambing sejak tahun 2005.
Tambahnya, berharap kerajaan dapat mengubah dasar untuk membantu penternak terus bernafas dengan kaedah yang lebih telus.
Penternak lembu di Kampung Batang Tiga, Mustafa Mahmud, 62, turut bersetuju dan pada tahun ini hanya lapan ekor lembu korban miliknya dijual untuk korban berbanding sebelum ini hampir sepuluh ekor lembu.
Menurutnya, keadaan ekonomi semasa juga mempengaruhi bilangan lembu korban pada tahun ini berkurangan kerana tidak ramai masyarakat berkemampuan melaksanakan ibadah korban.
Katanya, meskipun berdepan dengan kenaikan tersebut, namun berusaha menjual dengan harga berpatutan bagi melancarkan program korban yang akan mula dilaksanakan di masjid sekitar kawasan ini pada minggu depan.
"Contoh kita beli seekor lembu dengan harga RM4,500 seekor, dalam tempoh tiga bulan perlu pastikan berat badan lembu itu menepati syarat untuk dikorbankan dan dijual.
"Dalam tempoh itu kita perlu berikan lembu -lembu ini makan dengan kadar banyak dan sudah pasti kos itu meningkat, namun kita tak boleh naikan harga terlalu mahal," katanya yang telah 32 tahun terlibat dalam bidang penternakan tersebut.
Ujarnya berharap, ada mekanisme terbaik bagi memastikan bidang penternakan ini tidak membebankan rakyat dan harga lembu dapat dikawal bukan sahaja pada musim perayaan sahaja.
Sementara itu penternak lembu di Permatang Pasir Permai Alai, Mohd Farhan Saharudin, 25, juga mengakui mengalami nasib sama dan permintaan lembu korban berkurangan.
Katanya, tidak menolak bukan semua rakyat masih mampu menyertai program korban dan ada di antara mereka sedang bertahan dengan wang yang ada untuk meneruskan kehidupan.
"Jika tidak ramai individu-individu datang ke ladang dan menempah lembu korban untuk melakukan ibadah itu bersama keluarga mereka.
"Tapi setakat ini yang datang menempah lembu korban seperti pihak masjid atau organisasi besar sahaja dan individu memang tak ada seperti tahun-tahun lalu," katanya.