PENJENAYAH scammer di negara ini semakin gila dan ‘kreatif’ menipu mangsa. Terkini, Polis Diraja Malaysia mengesan modus operandi baharu penipuan secara dalam talian itu menggunakan kad jemputan kahwin dan paparan waran tangkap yang mempunyai logo PDRM.
Menurut laporan, sekurang-kurangnya terdapat dua kes mangsa menerima notis yang ‘ditandatangani’ oleh Ketua Polis Perak dan Ketua Polis Perlis dengan seorang mangsa yang merupakan pensyarah universiti di Perak mengalami kerugian RM98,000.
Pensyarah berkenaan diperdaya sindiket itu selepas mendakwa mangsa terbabit kes penyeludupan dan menggelapkan wang RM2.8 juta.
Akibat takut, mangsa mendedahkan maklumat peribadi dan bank yang membolehkan sindiket berkenaan membuat pengeluaran secara pindahan wang.
Namun apa yang lebih membimbangkan ialah taktik mengajak orang ramai pergi kenduri kahwin dengan meminta mereka memuat turun fail aplikasi yang sebenarnya mengandungi malware.
Dengan memasang aplikasi tersebut, scammer berkenaan akan mendapat akses penuh terhadap telefon pintar mangsa dan mencuri data kewangan mereka.
Apatah lagi kad jemputan kahwin digital kini semakin popular menyebabkan mangsa tidak mengesyaki apa-apa kerana teruja dengan undangan berkenaan.
Justeru, anak-anak boleh tolong ingatkan ibu bapa serta pak cik mak cik yang mungkin kurang tahu cara baharu scammer buat kerja ini.
Jangan install atau tekan apa-apa pautan daripada sumber yang tidak dikenali. Scammer ini menyasarkan ibu bapa kita yang tidak berapa celik teknologi maklumat tetapi mempunyai duit simpanan yang banyak.
Sebenarnya ada berpuluh-puluh atau beratus-ratus lagi taktik licik scammer sebelum ini, menyebabkan rakyat Malaysia kerugian berbilion ringgit.
Tidak dinafikan ramai juga golongan profesional seperti doktor dan jurutera menjadi mangsa, namun lebih malang jika ia melibatkan rakyat berpendapatan rendah yang bergelut dengan kos sara hidup.
Malah seramai 22,000 pesara kerajaan telah menjadi mangsa scammer setakat ini, melibatkan kerugian sebanyak RM850 juta, menurut Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan, Selasa lalu.
Oleh itu, kita berharap Ketua Polis Negara yang baharu, Tan Sri Razarudin Husain dan timbalannya, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay akan turut memerangi habis-habisan jenayah scammer di Malaysia. Selamat bertugas kepada mereka berdua.