SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Tidak selesa dengan beberapa perkara yang berlaku semasa pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu adalah antara faktor pendorong kepada bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed beralih arah politik.
Mustapa berkata, walaupun beliau salah seorang menteri kanan kerajaan BN sebelum ini, namun tidak semua perkara diketahuinya.
"Banyak perkara yang saya tidak tahu dan ada banyak perkara juga yang saya tidak selesa dan proses ini sebenarnya memakan masa.
"Alhamdulillah, bagi saya kerajaan kini adalah sebuah pemerintah yang menekankan konsep pentadbiran yang inklusif dan paling utama berteraskan Perlembagaan.
"Sebenarnya itulah yang seharusnya menjadi sifat sebuah kerajaan,” katanya ketika perasmian Dialog@Shah Alam bertajuk Malaysia Baharu: Menggarap Sinergi Politikus dan Penjawat Awam di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini semalam.
Menurutnya, kini walaupun berada dalam sebuah parti baharu, namun yang paling utama ialah beliau mudah untuk menjalankan tugas membantu rakyat.
"Sebab kenapa saya berhijrah banyak menjadi tanda-tanya kepada orang ramai. Sebenarnya saya berasakan saya mudah untuk menjalankan tanggungjawab dan perkara yang saya letakkan teratas adalah membantu masyarakat.
"Saya amat yakin dengan kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri. Beliau mampu untuk membawa negara ke arah satu keadaan yang baik dan pada masa sama seperti yang kita sedia maklum, kita menghadapi beberapa cabaran. Ketika inilah paling penting untuk kita gemblengkan tenaga,” katanya.
Mustapa berkata, Malaysia berpotensi untuk menjadi sebuah negara yang hebat.
"Ada ketikanya dahulu kita seolah-olah ketinggalan bersaing dengan negara lain dan dengan kepimpinan serta semangat baharu, kita bersama untuk menjadi yang terbaik.
"Segala apa yang kita lakukan bukan sahaja untuk kita, tetapi adalah untuk generasi masa depan, anak dan cucu kita,” katanya.
Pada 18 September 2018, Ahli Parlimen Jeli itu mengumumkan keluar UMNO selepas lebih 30 tahun berkhidmat dalam parti itu.
Mustapa berkata, keputusannya itu adalah susulan hala tuju UMNO pada masa kini yang tidak selari dengan perjuangannya.
Dengan keputusannya itu, Mustapa secara automatik menjadi Ahli Parlimen Bebas.
Beliau bagaimanapun kemudian menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 26 Oktober 2018.