KOTA TINGGI - Seorang penunggang maut apabila motosikalnya terbakar setelah terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Simpang Perani, Jalan Aping Waha, Kota Tinggi, pada Rabu.
Mangsa dikenali sebagai Mohd Azizi Muhamed, 41, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurut Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Khas Untuk Penyandang (KUP) Ismail A Bakar, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 kira-kira jam 9.07 malam mengenai kebakaran motosikal dan kemalangan tersebut.
Katanya, satu jentera FRT dan satu jentera EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi dengan lapan anggota dihantar ke tempat kejadian.
"Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian didapati sebuah motosikal telah musnah 90 peratus selepas terlibat kemalangan dengan sebuah kereta jenis Proton Wira. Bagaimanapun kereta tersebut telah tiada di lokasi kejadian semasa PKO tiba
"PKO kemudiannya bertindak membuat pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula air pam jentera J1-50 sehingga kebakaran padam sepenuhnya.
"Terdapat seorang mangsa iaitu lelaki dewasa disahkan telah meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) akibat kemalangan berkenaan," katanya.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.