Sanggup menipu untuk dapat bantuan zakat

Iklan
Skuad Jejak Asnaf melakukan ziarah rutin ke rumah pemohon atau penerima zakat sedia ada bagi mengelak penipuan permohonan.

KUALA LUMPUR - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menerusi Skuad Jejak Asnaf melaksanakan ziarah rutin ke rumah pemohon dan penerima zakat sedia ada bagi mengelak penipuan.

Baitulmal MAIWP memaklumkan, beberapa perkara perlu disemak terlebih dahulu sebelum sesuatu bantuan itu dilulus atau diteruskan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, semakan itu membabitkan status pemohon, alamat serta tangga gaji.

"Ada antara mereka telah menamatkan zaman duda atau janda atau balu dengan mendirikan rumah tangga tetapi menafikan status perkahwinan.

Iklan

"Selain itu terdapat kes pemohon yang menggunakan alamat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur tetapi apabila ziarah dibuat didapati rumah tersebut dihuni orang lain dan ada juga unit yang dilihat kosong tidak berpenghuni," katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Katanya, MAIWP juga mendapati terdapat antara pemohon tidak telus dalam memberikan maklumat pendapatan

Iklan

"Semakan dan penelitian dibuat mendapati ada di antaranya menyembunyikan maklumat seperti menerima pencen, Perkeso, hasil sewaan rumah, hasil perniagaan, kerja sambilan, pemberian anak-anak dan sebagainya.

"Ada juga pemohon warga emas mendakwa tinggal seorang diri, sebatang kara, tiada waris ataupun tidak diendahkan ahli keluarga tetapi hasil ziarah dibuat mendapati ramai anak turut tinggal bersama. Ramai daripada mereka yang telah mempunyai pekerjaan yang baik selain menerima pendapatan lumayan," katanya.

Ujarnya, itu antara cabaran dihadapi oleh Skuad Jejak Asnaf MAIWP dalam menjalankan tugas.

"MAIWP menerima amanah para pembayar zakat sudah semestinya menjadi kewajipan kami memastikan setiap wang zakat dibelanjakan kepada yang benar," katanya.