KUALA LUMPUR - Sebanyak lapan kertas siasatan dibuka ke atas seorang pegawai polis wanita dikenali sebagai 'Inspektor Shiela' yang terbabit dalam kejadian mencemuh dan menghina anggota polis bawahan baru-baru ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dua kertas siasatan telah dibuka oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah Seksyen 506 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan berhubung isu tersebut.
Menurutnya, dua kertas siasatan tersebut dilakukan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM.
"Enam lagi kertas siasatan turut dibuka melibatkan aspek tatatertib yang dilaksanakan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT).
"Proses mendengar percakapan daripada pegawai terbabit telah dilakukan oleh PDRM pada 18 Jun lalu.
"Sehubungan itu, pegawai tersebut dikenakan tindakan ditahan kerja sejak minggu lepas," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas majlis pemakaian lencana pangkat serta serah terima tugas Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis (Pulapol), dekat sini.
Pada majlis tersebut, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani menyerahkan tugas kepada timbalannya, Tan Sri Razarudin Husain @ Abd Rasid.
Razarudin dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baharu selama dua tahun berkuatkuasa bermula 23 Jun sehingga 22 Jun 2025 secara kontrak.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, tindakan ditahan tugas dikenakan ke atas pegawai polis wanita itu ekoran tiga video kejadian tular di media sosial baru-baru ini.
"Tindakan itu akan berlanjutan sehingga kes tersebut selesai disiasat dan urusan pertuduhan dijalankan.
"Sehubungan itu masyarakat diharap dapat memahami tugas polis untuk menyiasat perkara tersebut seadilnya," katanya.
Jelasnya, terdapat kaedah dan mekanisme digunakan bagi menjalankan siasatan terperinci, sekali gus mengelak berlakunya ketidak ketenteraman awam.
"Apabila ia melibatkan anggota atau pegawai PDRM, maka ada saluran tertentu dan tindakan dalaman yang akan diambil.
"Malah tindakan yang diambil ini juga bertujuan menepis persepsi tidak baik kepada PDRM dan boleh mencemar institusi kepolisian negara," ujarnya.
Ditanya sama ada pegawai terbabit mempunyai masalah kesihatan mental, beliau berkata, perkara itu diserahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut.