KPT nafi syarat ketat biasiswa punca tidak lanjut pengajian

Iklan
Mohamed Khaled melihat hasil kerja penuntut di bilik pameran semasa mengadakan lawatan kerja ke Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang pada Khamis.

PASIR GUDANG - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menafikan syarat dikenakan terhadap permohonan biasiswa atau pinjaman menjadi faktor ramai lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memilih tidak melanjutkan pengajian ke institut pengajian tinggi (IPT).

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, mereka yang layak dan ingin melanjutkan pengajian ke IPT boleh memohon bantuan pinjaman termasuk daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Iklan
Iklan

"Pertama yang sudah kita perkenalkan ialah Program Pembangunan Siswa Sulung Berikan Pendidikan Percuma. Seramai 10,000 pelajar daripada kumpulan B40 yang melanjutkan pengajian di peringkat tinggi terkecuali daripada membayar yuran di universiti awam.

"Tak ada (dakwaan syarat ketat tersebut), kalau PTPTN dia tengok pada gaji pendapatan ibu bapa (pemohon) itu sahaja.

Iklan

"Saya ingat pelajar yang tak nak masuk itu mungkin yang tak lulus daripada tingkatan atau tak cukup (kelayakan) atau dia mohon pilih satu subjek yang tak sesuai dengan kelayakan dia, masuk dulu baru tengoklah sama ada dia boleh dapat pinjaman atau tidak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa mengadakan lawatan kerja ke Politeknik Ibrahim Sultan (PSI) di sini pada Khamis.

Iklan

Mohamed Khaled mengulas kenyataan Presiden Angkatan Mahasiswa Universiti Malaya, Nur Nazirah Abdullah bahawa syarat ketat pembiayaan menyebabkan ramai lepasan SPM memilih tidak melanjutkan pengajian mereka ke IPT.

Antara faktor utama mereka tidak mahu menyambung pelajaran adalah kerana tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi.

Selain itu syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dengan pelajar sekurang-kurangnya mendapat 9A+ atau A dalam peperiksaan SPM untuk memohon tajaan secara tidak langsung akan mengurangkan minat mahasiswa.

Terdahulu, Mohamed Khaled diberi taklimat berhubung Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sempena lawatan kerjanya di PSI.