KOTA BHARU - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Kelantan akan membantu Orang Asli di negeri ini untuk melaksanakan ibadah korban sendiri pada masa akan datang.
Pengarahnya, Mahadi Awang berkata, usaha itu sudah digerakkan dengan menggalakkan mereka untuk membuat tabungan bermula RM10 sehingga RM50 sebulan sehinggalah tiba bulan Zulhijjah.
"Dengan cara ini mereka dapat melaksanakan sendiri ibadah tersebut dan sekali gus memahami erti sebenar pengorbanan dalam Islam.
"Jika sebelum ini, setiap kali meraikan Aidiladha, lembu yang dikorbankan untuk masyarakat itu disumbang oleh pelbagai pihak.
"Pada masa hadapan kita hendak mereka merasai sendiri pengalaman dari awal sampai akhir," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan kejohanan boling di antara Yadim dan Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) di Tunjong.
Menurut Mahadi, untuk peringkat awal akan melibatkan 500 Orang Asli di Pos Tuel, Gua Musang.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, Yadim kini dalam proses melahirkan lebih ramai dai dalam kalangan Orang Asli.
Tambahnya, projek yang dimulakan sejak tiga tahun lalu itu telah berjaya melahirkan tiga dai di negeri ini.
"Mereka di tempatkan di kampung halaman masing-masing untuk mengajar al-Quran, fardu ain dan sebagainya kepada suku kaum masing-masing.
"Selain itu kita juga dalam usaha menempatkan dai di setiap Projek Perumahan Rakyat (PPR) di negeri ini," ujarnya.