KUALA LUMPUR- Kerajaan perlu mengambil satu langkah interim secepat mungkin dengan meminda peraturan sedia ada untuk mengawal selia industri vape sambil menunggu perbincangan yang teliti dibuat Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) berkenaan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam dan cadangan Dasar Generasi Penamat GEG.
Presiden Malaysia Vape Industry Advocacy (MVIA), Rizani Zakaria berkata, pada minggu lalu, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa telah merujuk RUU tersebut kepada JKPK sebaik ia dibentang untuk bacaan pertama di Parlimen.
Menurutnya, memandangkan RUU tersebut hanya akan dibentang semula di Parlimen akhir tahun ini selepas ia selesai diteliti JKPK, langkah interim diperlukan buat masa sekarang.
"Ini adalah membolehkan industri vape dikawal selia terutamanya untuk membendung isu penggunaan oleh individu bawah umur dan memastikan kandungan produk mematuhi piawaian yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang penyalahgunaan yang boleh memberi persepsi negatif kepada industri,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu menimbangkan cadangan meminda peraturan sedia ada seperti Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 dengan terbuka kerana langkah interim tersebut akan dapat memperkenalkan larangan penjualan kepada dan penggunaan oleh individu yang di bawah umur serta terus membendung isu berkenaan daripada berlarutan.
Rizani juga berkata, kawalan produk vape melalui Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 bukannya suatu perkara yang tidak pernah dibuat.
"Pada 2019, Kerajaan juga telah meluaskan larangan penggunaan vape di tempat kedai makan dan tempat awam. Ini membuktikan bahawa peraturan tersebut boleh dipinda dan digunapakai untuk mengawal selia produk vape.
"Kementerian perlu terbuka dengan langkah interim ini. Pindaan peraturan ini bukan bermaksud RUU tersebut tidak akan dibentang pada masa depan,” ujar beliau.
Dalam masa yang sama, Rizani menyambut baik keputusan kementerian untuk merujuk tersebut kepada JKPK dan berpendapat ia adalah langkah tepat kerana RUU itu perlu disemak semula agar ia mengambil kira kepentingan serta pandangan semua yang terlibat terutamanya berkaitan dengan cadangan GEG yang teramat kontroversial ini.
"Semua pihak perlu bekerjasama dan mencari penyelesaian titik tengah dalam perkara ini. Kami di pihak industri memohon agar JKPK membuat sesi perbincangan dengan semua pihak dan mengkaji dengan menyeluruh cadangan GEG ini,” ujar beliau.
Katanya lagi, sesi perbincangan bersama semua pihak adalah sangat penting kerana cadangan GEG ini bakal memberi kesan yang agak besar kepada keseluruhan ekosistem industry secara langsung dan tidak langsung.
"Secara terangnya, cadangan GEG ini akan menjejaskan usahawan tempatan yang sebelum ini telah melabur jutaan ringgit untuk mengembangkan industri serta kesan kepada tenaga kerja mahir dalam industri ini.
"Dari segi ekonomi negara pula, ia memberikan mesej yang salah kepada pelabur asing kerana sudah pasti ia akan membuatkan pelabur beralih ke negara lain, sedang Malaysia mempunyai pembekal berkualiti yang bertaraf dunia” kata Rizani.