Mahkamah tolak permohonan reman pendakwah bebas

Iklan
Mahkamah Majistret Kangar menolak permohonan reman dikemukakan terhadap seorang pendakwah bebas (kiri) pada Khamis.

KANGAR - Mahkamah Majistret Kangar di sini, pada Khamis menolak permohonan reman dikemukakan terhadap seorang pendakwah bebas berhubung kes menggunakan gelaran Datuk yang tidak diiktiraf.

Majistret, Siti Nor Hasliza Md Ali menolak permohonan perintah reman terhadap suspek berasal dari Kedah itu selepas mengambil maklum alasan yang dikemukakan oleh peguam yang mewakilinya.

Iklan
Iklan

Pendakwah bebas berusia 33 tahun itu diwakili peguam Nur Iman Nor Azmi, Siti Hajar Ahmad dan Zuhair Ahmad Zakuan serta Nurul Hanani Che Nor.

Nur Iman berkata, mahkamah telah menolak permohonan reman tersebut dan anak guamnya bebas dengan jaminan polis.

Iklan

"Mahkamah turut tidak membenarkan permohonan reman itu memandangkan anak guam saya merupakan individu yang dikenali dan tidak berpotensi untuk melarikan diri.

"Kini kes tersebut masih dalam siasatan dan anak guam kami bersedia memberi kerjasama kepada polis," katanya.

Iklan

Sebelum itu, pendakwah bebas tersebut tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kangar di sini, kira-kira jam 9.30 pagi bagi mendapatkan perintah reman sambil diiringi anggota polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop mengesahkan mengenai penahanan pendakwah bebas itu sebelum ini.

Yusharifuddin berkata, pendakwah bebas itu disyaki menggunakan gelaran tidak diiktiraf dan anugerah 'Datuk' berdasarkan hantaran di Facebook pada 1 Mei lepas.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia dan Seksyen 3(2) Akta Kesalahan yang berhubungan dengan Anugerah 2017.