'Jadilah penilai baik, berani tegur pemimpin' - Siti Aishah

Iklan
Siti Aishah

SHAH ALAM - Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Siti Aishah Shaik Ismail menasihati Ketua Penerangan Dewan Muslimat Pas, Mardhiyyah Johari supaya menjadi penilai yang baik serta berani menegur pemimpin negeri itu sendiri iaitu Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor.

Ia berhubung kritikan Mardhiyyah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang gagal membezakan antara seteru politik dan tanggungjawab sebagai pentadbir negara menerusi hubungan Kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri.

Iklan
Iklan

Menurut Siti Aishah, kenyataan tersebut jauh tersasar susulan cubaannya mewujudkan persepsi bahawa Perdana Menteri seolah-olah tidak mengadakan pertemuan dan mengabaikan rakyat Kedah.

"Suka saya ingatkan saudari Mardhiyyah, setiap kali Perdana Menteri turun ke Kedah, beliau tidak pernah lupa untuk memberikan fokus kepada pembangunan ekonomi dan ihsan rakyat.

Iklan

"Perdana Menteri sentiasa ada insentif untuk rakyat dan tidak ada istilah lupa atau pengabaian seperti yang digambarkan oleh saudari Mardhiyyah,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Pada Selasa, Mardhiyyah menerusi hantaran di Facebook berkata, dua perkara yang menjadi perbahasan masyarakat kini adalah berkenaan pembangunan Lapangan Terbang Kulim dan pajakan negeri Pulau Pinang.

Iklan

Beliau berkata, ia bukanlah sesuatu yang boleh diselesaikan dengan sikap pemimpin tidak bertanggungjawab.

Siti Aishah mengulas lanjut, Mardhiyyah seharusnya menjadi penilai yang baik, berani menegur dan mengkritik cara Menteri Besar Kedah dalam menjalankan fungsi beliau sebagai pemimpin.

Tambahnya lagi, isu tersebut melibatkan perlembagaan dan keutamaan pembangunan perlu dibuat secara relevan serta masih banyak lagi perkara berkenaan kemiskinan yang harus diselesaikan.

Ujarnya, Muhammad Sanusi harus kembali kepada norma biasa pemimpin yang perlu bermula dengan sikap dan adab.

"Jika benar ikhlas bercakap soal rakyat, maka beliau harus memperbaiki sikap dan pertuturannya, bukannya sentiasa melemparkan persepsi jahat serta fitnah terhadap kerajaan,” katanya.