YAN - Seorang lelaki parah selepas terjatuh pada ketinggian lebih 15 meter semasa mandi di Air Terjun Seri Perigi kira-kira jam 6.59 petang pada Rabu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan, Penolong Penguasa Bomba Noorhamidi Ali berkata, mangsa berusia 23 tahun dipercayai tergelincir dan cedera di beberapa bahagian badan.
Menurutnya, mangsa dikatakan datang bersama rakan untuk mandi di air terjun tersebut.
"Panggilan kecemasan diterima pada jam 6.59 petang dan sepasukan anggota dari BBP Yan dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Pemeriksaan mendapati mangsa berada dalam keadaan separa sedar selain cedera di kepala, tangan dan kaki.
"Mangsa berjaya dibawa keluar pada jam 7.16 petang dan dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk rawatan lanjut," katanya.