KOTA TINGGI - Seorang wanita di sini tidak menyangka lauk ikan bilis kentang goreng kicap adalah permintaan terakhir suaminya sebelum terlibat dalam kemalangan maut di Kilometer (KM) 29 Jalan Lok Heng-Mawai pada malam Rabu.
Dalam kejadian itu, Mohd Azizi Muhamad, 41, maut di tempat kejadian selepas motosikal jenis KTM Duke 200 yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Felda Bukit Waha.
Siti Zubaidah Amit, 37, berkata, dia juga terkilan kerana tidak sempat menyiapkan hidangan itu.
Menurutnya, arwah suaminya yang bekerja di Ulu Tiram sentiasa membawa bekal.
"Saya masih ingat permintaannya untuk membawa bekal lauk ikan bilis kentang goreng kicap ke tempat kerja walaupun sebelum ini dia tidak pernah minta saya masakan menu itu.
"Selalunya, dia hanya bawa apa sahaja yang saya masak,” katanya kepada Sinar Harian.
Berdasarkan laporan polis, motosikal ditunggang Mohd Azizi telah bertembung dengan kereta jenis Proton Wira yang terbabas dari arah bertentangan sebelum tercampak ke bahu kiri jalan dan terbakar.
Bagaimanapun berdasarkan laporan polis, Mohd Azizi dipercayai menjadi mangsa langgar lari berikutan kereta yang dipercayai terlibat dalam kemalangan berkenaan ditinggalkan oleh pemandunya dan difahamkan usaha mengesan pemandu berkenaan sedang giat dilakukan pihak polis.
Dalam masa itu, Siti Zubaidah turut mengakui jasad suaminya dalam keadaan sempurna ketika melihatnya di Unit Forensik, Hospital Kota Tinggi pada Khamis.
Justeru katanya, dia menafikan mengenai berita yang tular di media sosial yang mendakwa leher suaminya putus dan sebagainya.
"Alhamdulillah, fizikal suami saya sempurna. Saya sendiri yang melihatnya di tempat kemalangan," katanya.
Siti Zubaidah berkata, dia mengetahui kejadian itu selepas panggilan telefon suaminya dijawab orang awam yang berada di tempat kejadian.
"Biasanya suami akan sampai di rumah kira-kira jam 9 malam, namun tidak ketika hari kejadian dan saya cuba menghubunginya namun dijawab orang lain sebelum memberitahu suami kemalangan," katanya.
Tambah Siti Zubaidah, selain memintanya memasak lauk ikan bilis kentang goreng kicap, sebelum kemalangan arwah suaminya juga menjadi seorang yang pendiam.
Jenazah Mohd Azizi selamat dikebumikan di kampung halamannya di Tanah Perkuburan Islam Felda Sening, pada Khamis. Mohd Azizi meninggalkan seorang isteri dan dua anak berusia tujuh dan 13 tahun