Henti bahas, bangkit isu saiz perkhidmatan awam - Cuepacs

Iklan
Adnan Mat

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menasihati semua pihak terutamanya pemimpin politik agar berhenti membahaskan dan membangkitkan isu berhubung saiz perkhidmatan awam yang seringkali didakwa sebagai terlalu besar serta membebankan kerajaan.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, saiz perkhidmatan awam di Malaysia masih ideal dan tidak terlalu besar berbanding negara lain seperti mana yang sering dimomokkan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, jumlah penjawat awam kira-kira 1.6 juta orang termasuk sektor pendidikan, pasukan keselamatan dan tenaga kerja kesihatan yang lazimnya tidak diambil kira sebagai kakitangan awam di negara-negara lain.

"Sekiranya ketiga-tiga sektor ini tidak diambil kira, ia hanya melibatkan kira-kira 600,000 kakitangan sahaja dalam perkhidmatan awam.

Iklan

"Oleh itu, Cuepacs kesal apabila perkhidmatan awam sering kali dilibatkan dalam pertelingkahan politik hingga memberikan gambaran yang tidak baik kepada masyarakat mengenai penjawat awam," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah beliau, adalah tidak adil membuat kenyataan terbuka yang mengguris hati penjawat awam dan hanya sekadar membuat permohonan maaf sebagai penyelesaian sedangkan 'kerosakan' telah berlaku.

Iklan

"Nasihat Cuepacs kepada semua pihak, berhentilah berbahas dengan isu yang sememangnya kita sudah ketahui fakta dan kebenarannya tetapi sengaja dibangkitkan demi kepentingan peribadi.

"Janganlah dilihat penjawat awam sebagai 'musuh' sebaliknya hargailah mereka sebagai tulang belakang yang banyak berjasa dalam memastikan pentadbiran negara lancar serta membolehkan rakyat menikmati kemakmuran dan kesejahteraan seperti yang dikecapi hari ini," ujarnya.

Adnan turut memberitahu, kakitangan di sektor kesihatan, keselamatan dan kesihatan masih tidak mencukupi.

"Banyak lagi petugas di sekolah, hospital, klinik serta pasukan keselamatan (tentera dan polis) diperlukan," jelasnya.