'Kenyataan sudah keluar, ada pihak gagal faham' - Exco Selangor

Iklan
Mohd Zawawi

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor kecewa dengan dakwaan segelintir badan bukan kerajaan (NGO) menyatakan 'kerajaan negeri tidak memberikan apa-apa jawapan jelas bagi membantu menyelesaikan masalah sedang dihadapi pengusaha sekolah agama persendirian'.

Ini kerana, kenyataan berkenaan proses pemutihan sekolah agama persendirian telah dikeluarkan pada 16 Jun lalu namun masih wujud pandangan sedemikian daripada sesetengah pihak yang gagal untuk memahaminya.

Iklan
Iklan

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal negeri, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, kerajaan Selangor telah mengarahkan kesemua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu untuk memulakan proses pemutihan sekolah agama persendirian.

Jelasnya, kesemua wakil dan pengusaha sekolah agama persendirian di negeri Selangor juga telah dijemput untuk berbincang dan diberi penerangan berkenaan isu tersebut.

Iklan

"Setiap PBT di Selangor mempunyai syarat untuk pembukaan sekolah agama persendirian yang berbeza, namun syarat lebih ketat ditetapkan PBT di kawasan bandar memandangkan wujud isu kesesakan lalulintas dan pencemaran udara serta bunyi," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau menambah sejak 2021 Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mula menetapkan syarat ulasan PBT untuk setiap sekolah agama persendirian membuat pendaftaran akademik dan kelonggaran ulasan PBT telah diberikan kepada sekolah agama p ersendirian selama dua tahun.

Iklan

"Namun pada tahun 2023 JAIS telah mengambil pendirian tegas untuk tidak menerima pendaftaran akademik dari sekolah agama persendirian yang gagal mendapat ulasan PBT.

"Secara kesimpulannya kerajaan Selangor telah berusaha bersungguh-sungguh membantu sekolah agama persendirian untuk kekal beroperasi, kesungguhan ini akan diteruskan pada masa hadapan melalui kerjasama erat terbina bersama Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) dianggotai 478 institusi sekolah agama persendirian di negeri Selangor," katanya.

Pada 16 Jun lalu, kerajaan Selangor menafikan tuduhan pihak tertentu mendakwa proses pemutihan tahfiz persendirian yang dilaksanakan ketika ini sebagai langkah penutupan institusi berkenaan.

Mohd Zawawi dilaporkan berkata, tuduhan itu bersifat tohmahan tidak berasas sesetengah pihak yang cuba memburukkan usaha murni kerajaan negeri dalam mengangkat kualiti dan taraf sekolah agama persendirian di negeri ini.