PENDANG - Seorang ibu tunggal gembira apabila mendapat sebuah rumah baharu yang sudah lama dinantikannya.
Norshidah Ahmad, 52, berkata, dia sangat gembira dan bersyukur dengan rezeki yang diperoleh ini.
Katanya, rumah lamanya sangat daif dan rumah baharu ini bakal memberi sedikit keselesaan kepada dia dan empat orang anaknya.
"Selain daripada menjaga anak-anak, saya juga turut menjaga ibu saya yang telahpun uzur dan sudah tidak mampu menguruskan diri," katanya ketika ditemui di sesi penyerahan rumah di Kampung Rambai Padang.
Menurut Norshidah, anak sulongnya yang berusia 20 tahun bekerja sebagai pembantu sebuah pasar raya namun telahpun berkahwin.
"Nak harap dekat dia pun tak boleh sebab dia sendiri ada tanggungan dan saya cuma jana pendapatan melalui kerja menganyam tikar.
"Alhamdulilah zakat turut hulurkan sumbangan RM400 setiap bulan dan anak bongsu turut mendapat RM200 daripada JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) kerana menghidap masalah jantung," katanya.
Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Pelanggan TNB Kedah, Ismail Lathifi Teh berkata, pemberian rumah ini merupakan satu program tanggungjawab korporat TNB untuk membaiki rumah kediaman golongan yang memerlukan.
Katanya, bantuan ini diberikan kepada orang kurang upaya, ibu tunggal, warga emas dan penduduk miskin yang tinggal di luar bandar.
"Bermula tahun 2013, kos membaiki rumah menggunakan peruntukan agihan semula zakat perniagaan TNB yang diterima daripada negeri-negeri yang bersetuju untuk memulangkannya," katanya.